Najib Tinggalkan Kediaman Dipercayai Ke Pekan



KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, meninggalkan kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini, kira-kira jam 9.20 pagi tadi.

Beliau dilihat menaiki Toyota Vellfire diikuti motosikal pengiring dan beberapa kenderaan lain.

Difahamkan, beliau akan menghadiri beberapa program di Parlimen Pekan, termasuk merasmikan mesyuarat cawangan-cawangan UMNO dalam Bahagian Pekan.

Mengikut jadual, Najib dijangka tiba di kediaman rasminya di Seri Kenangan di Pekan kira-kira jam 12 tengah hari.

Terdahulu, kira-kira 50 ahli Puteri UMNO dari seluruh negara hadir di kediaman bekas perdana menteri pada jam 8.15 pagi bagi menyatakan sokongan terhadap beliau.

EXCO Puteri UMNO, Dira Abu Zahar berkata, pihaknya dapat berjumpa dengan Najib walaupun hanya dalam tempoh 10 minit.

"Beliau (Najib) kelihatan agak ceria dan berpesan kepada kami supaya terus bersatu dan tidak mengalah. Kami juga terkejut kerana beliau sangat mengalukan kedatangan kami.

"Dia sangat positif namun kami tidak dapat bertemu lama kerana dia mempunyai program yang perlu dihadiri," katanya.

Sumber: BH Online