Nawawi Selesai Mengundi Di Maktab Mahmud Langkawi


LANGKAWI - Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad selesai mengundi di Maktab Mahmud Langkawi di sini kira-kira pukul 9.20 pagi ini.

Beliau yang merupakan penyandang kerusi berkenaan tiba di pusat pengundian tersebut kira-kira pukul 9.13 pagi bersama isteri, Datin Shabariah Md. Hassan.

Suasana tenang di pusat mengundi itu dengan kebanyakan pengundi di kawasan tersebut telah mula beratur sejak pukul 7.30 pagi bagi menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

Sementara itu, Nawawi ketika ditemui berkata, beliau berharap proses pengundian yang berakhir pada pukul 5 petang ini berjalan lancar.

Selain itu, beliau juga berharap jumlah mereka yang keluar mengundi meningkat lebih 80 peratus pada pilihan raya kali ini.

Parlimen Langkawi menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan Nawawi, calon PKR, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membuat kemunculan semula selepas lebih dua dekad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan calon Pas, Zubir Ahmad.

Dalam pilihan raya lalu, Nawawi cemerlang di kerusi tersebut selepas menewaskan Ahmad Abdullah dari PKR dan Marina Hussein mewakili Bebas dengan majoriti 11,861 sekali gus mengekalkan kawasan berkenaan sebagai kubu kuat BN sejak daripada dahulu lagi. - Utusan