KUALA LUMPUR - Pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil, 37, mendakwa namanya disenarai hitam beberapa syarikat produksi produksi kerana terlalu lantang bersuara, selain terbabit dengan kes mahkamah.
Katanya, perkara itu disedari sejak awal tahun lagi apabila tawaran membintangi drama ditarik balik, selain mendakwa masih ada pihak yang belum melunaskan bayaran penuh, biarpun sudah melunaskan kerjanya.
"Saya mula menyedari nama saya seperti digam apabila ada tawaran yang sudah dipersetujui, tetapi diam tanpa sebarang susulan.
"Pada masa sama, saya turut dimaklumkan ada produksi yang menggugurkan nama saya daripada senarai, seolah-olah bimbang untuk mengambil saya bekerja.
"Semua kesukaran ini dikatakan berpunca daripada kelantangan saya bersuara di laman sosial. Ditambah dengan kes mahkamah yang masih berjalan, ia menguatkan lagi alasan sesetengah pihak untuk tidak menggunakan khidmat saya.
"Saya juga masih menunggu bayaran penuh atas kerja yang dibuat. Saya tidak tahu kenapa bayaran penuh masih dilengah-lengahkan sedangkan ada di antaranya sudah ditayangkan," katanya.
Suami Datin Diana Danielle itu hadir pada sesi pertemuan penggiat seni dengan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur di sini, kelmarin.
Nama Farid hangat diperkatakan apabila didakwa pada 16 Januari lalu atas empat pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam di Balai Kota Damansara pada 11 Januari.
Sembilan hari selepas itu, Farid didakwa menggunakan dadah berbahaya Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu '11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid' di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 4.30 petang hari sama.
Pada 9 Mac lalu, Farid didakwa sekali lagi atas tuduhan membuat laporan polis palsu. Pelakon filem J Revolusi itu didakwa melakukan kesalahan terbabit di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, pada jam 5.54 petang 31 Januari lalu.
Sumber: BH Online