Pakatan Menang PRU14 Bukan Kerana Faktor Mahathir - Rafizi



Isu kenaikan kos sara hidup serta pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah sebab utama Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Populariti Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun, bukan faktor kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata perkara itu terbukti berdasarkan tinjauan pasca PRU-14 oleh Invoke Malaysia, yang mendapati pengundi lebih terkesan dengan dua isu itu berbanding taat setia kepada Dr Mahathir.

Katanya, prestasi buruk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Dr Mahathir di Kedah, turut menjadi bukti Perdana Menteri berusia 93 tahun itu bukan faktor kejayaan PH.

"Kami membuat tinjauan pendapat pasca pilihan raya. Saya cenderung untuk membuat kesimpulan sekarang dan data akan mengesahkannya. Pada akhirnya, isu terbesar adalah isu punca pendapatan. Ia adalah mengenai GST...lebih mengatasi isu lain.

"Selain itu, walaupun Dr Mahathir menang besar sebelum ini di Kedah, kali ini PAS yang menang besar di Kedah.

"Ini bermakna, untuk kaum Melayu, jika mereka perlu memilih antara PPBM yang dipimpin Dr Mahathir atau PAS, mereka akan pilih PAS," katanya seperti dilaporkan portal The Malaysian Insight, semalam.

PRU-14 mencatat sejarah sendiri buat BN apabila tewas kepada PH, sekali gus gagal membentuk kerajaan buat pertama kali dalam tempoh 60 tahun.

PH berjaya merampas beberapa negeri daripada BN, iaitu Kedah, Perak, Sabah dan Johor, yang juga negeri UMNO 'dilahirkan', selain mencipta kejutan di Negeri Sembilan dan Melaka.

Walaupun berjaya merampas Kedah, namun prestasi PPBM di negeri kelahiran Dr Mahathir itu mengecewakan apabila sekadar menang tiga kerusi Parlimen.

Sebelum ini, beberapa pihak menyifatkan Dr Mahathir sebagai faktor dan kunci kemenangan PH pada PRU-14, berikutan berjaya menyatukan parti pembangkang, khususnya untuk bertanding di bawah satu logo buat pertama kali.

Kejayaan PH merampas kerusi luar bandar serta memenangi undi golongan berusia juga disandarkan kepada faktor Dr Mahathir, berikutan ia gagal dilakukan PKR dan DAP sebelum ini.

Sementara itu  Pengerusi PPBM Terengganu, Datuk Razali Idris membidas Rafizi Ramli berikutan kenyataannya yang menyanggah kewibawaan Dr. Mahathir dalam menjatuhkan kerajaan BN.

Menurut Razali, kemenangan PH sebahagian besarnya berikutan percaturan bijak Dr Mahathir merangka strategi, bukannya hasil kajian Invoke Malaysia yang dikendalikan Rafizi.

Sambil menyifatkan kenyataan sensasi Rafizi itu bersifat peribadi dan boleh memecah-belahkan PH, beliau berkata sekarang bukan masa memperlekehkan sesiapa, sebaliknya mengambil peluang untuk membina semula negara.

Katanya, Rafizi mengambil jalan ke belakang dengan mencipta krisis dalaman antara komponen PH.

"Antara strategi ampuh yang disusun Tun M ialah bertanding menggunakan satu logo, mengumumkan Perdana Menteri dan timbalannya seandainya PH menang serta menyelesaikan isu pembahagian kerusi.

"Kalau ikut kajian INVOKE, PAS tak dapat satu kerusi pun di Terengganu dan Kelantan tapi apa yang berlaku, PAS menang dua pertiga sekali gus membuktikan kajian itu tidak tepat," katanya dalam kenyataan media,  semalam.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu dilaporkan berkata, perkara itu terbukti berdasarkan tinjauan pasca PRU-14 INVOKE yang mendapati pengundi lebih terkesan dengan dua isu itu berbanding taat setia kepada Dr Mahathir.