‘Pas Dahulu, Tak Seperti Sekarang’ Kata Nik Omar


KOTA BHARU – Calon Parti Amanah Negara (PAN), Nik Omar Nik Abdul Aziz mendakwa, pendekatan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dahulu adalah berbeza dengan kini.

Beliau berkata, walaupun dasar parti Islam itu masih dikekalkan tetapi legasi yang dibawa bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat tidak diteruskan.

“Apa-apa pun, kita kena hormat dengan pendekatan yang dibawa oleh pemimpin sekarang,” katanya

Menjelaskan kerjasama berbilang kaum dalam politik merupakan tunjang dalam membina Malaysia ke arah lebih baik.

Nik Omar berkata, 53 tahun, yang bakal menggunakan tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Dewan Undangan Negeri (N.06) Chempaka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini, perbezaan dan persepakatan perlu diraikan.

“Kita kuat kerana kita berpegang pada Islam tetapi jika kita ingin maju ke depan, kita perlu meraikan perbezaan dan bersepakat,” katanya, petik Awani

“Kesepakatan ini bertujuan membentuk satu kerajaan yang baik. Apabila negara diperintah oleh kerajaan yang baik, ia memberi manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira sebarang perbezaan,” jelasnya lagi.

Atas dasar itu, Nik Omar yakin bahawa tiada gabungan yang mampu mengambil alih pemerintahan negara melainkan Pakatan Harapan.

Menurutnya, Islam bukan diturunkan untuk memberi rahmat kepada sesetengah kaum tetapi kepada semua umat manusia termasuklah makhluk yang lain.

Beliau menambah, ayahnya yang merupakan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik pernah melawat mendiang Karpal Singh di Pulau Pinang walaupun pada waktu itu beliau berada dalam keadaan tidak sihat.

Nik Omar menyatakan, Tuan Guru Nik Aziz sanggup melakukan apa-apa sahaja asalkan tidak bertentangan dengan syariat agama dalam cuba menyampaikan dakwah kepada orang bukan Islam

Tambahnya, tindakan ayahnya itu bukan sekadar ingin ‘melawat’ tetapi menonjolkan sikap sebenar orang Islam kepada penganut agama lain.

Dalam pada itu, Nik Omar mengatakan, beliau memilih DUN Chempaka adalah bagi meneruskan legasi tanggungjawab yang ditinggalkan ayahnya dan bukan kerana warisan keluarga.

Dalam wawancara itu juga, Nik Omar turut mendedahkan bahawa beliau pernah diminta ayahnya untuk menyertai Ahli Jawatankuasa (AJK) Badan Perhubungan PAS pada tahun 2008 tetapi menyahut seruan itu selepas 10 tahun.

Sumber: Suara TV