Pas Tak Menyesal Tinggalkan Harapan


KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, partinya tidak pernah menyesal meninggalkan pakatan pembangkang, yang kini membentuk kerajaan persekutuan selepas memenangi PRU14.

Beliau sebaliknya menyatakan, jatuh bangun dalam politik adalah perkara biasa dan politik sentiasa berubah-ubah.

“Kita pernah meninggalkan kerajaan, pernah dipecat daripada kerajaan, semuanya pernah... kalah dan menang. Sebab itu, kita tidak boleh berkawan sehingga melampaui batas dan tidak boleh bermusuh sehingga melampaui batas.

“Kita pernah menjadi kerajaan negeri dan kerajaan pusat pada tahun 1973 dalam pentadbiran bersama BN. Kita parti yang paling banyak pengalaman, bukan sahaja mengalami pengalaman kemenangan tetapi juga kekalahan. Ia menjadikan Pas kuat dan kekal sehingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Istiadat Perisytiharan Perlantikan Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bertempat di Istana Syarqiyyah di sini, malam tadi.

Pada istiadat itu, Adun Rhu Rendang, Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baharu di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sementara itu, ditanya sekiranya Pas bersedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan atau BN, beliau berkata, Pas perlu melihat dasar parti berkenaan.

“Pas ada dasarnya dan kita ada Majlis Syura Ulama. Sebagai sebuah parti Islam, (kita akan lihat) mana yang lebih memberikan kebaikan kepada umat Islam, mana yang lebih baik kepada rakyat,” katanya.

Pada masa yang sama, Hadi turut mengingatkan kepada kerajaan persekutuan baharu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad agar dapat menghormati hak kerajaan negeri dan tidak mengulangi kesilapan yang sama.

“Ada dalam perlembagaan (hak kerajaan negeri) dan perjanjian sudah ada. Selama ini mereka (kerajaan terdahulu) tidak menghormati perlembagaan. Kita harap tidak berulang, perampasan royalti dan campur tangan terhadap kerajaan negeri,” katanya.

Sumber: Sinar Online