PBAM Masuk Gaza Selepas Aidilfitri


KUALA LUMPUR - Pertubuhan Bencana Alam Malaysia (PBAM) bercadang untuk memasuki Semenanjung Gaza selepas Aidilfitri ini bagi membantu anak mangsa kekejaman Israel meneruskan pembelajaran mereka.

Pengerusi PBAM, Nasir Khan Abdul Rahman, berkata pihaknya sudah dihubungi rakan sejawat dari Universiti Palestin berhubung perkembangan terkini di Gaza dan berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar dapat membantu mereka.

"Menurut rakan saya, keadaan di Gaza begitu kritikal selepas tentera Israel menembak mati penduduk tanpa mengira usia di Semenanjung itu. Amat mengharukan apabila lebih 60 kanak-kanak menjadi mangsa kekejaman tentera Zionis.

"PBAM terpanggil untuk menyertai misi bantuan kali ini dengan menyasarkan kanak-kanak yang bersekolah. Justeru, kami memohon pihak korporat, ahli perniagaan dan individu menghulurkan bantuan bagi menjayakan misi kali ini.

"Kami memerlukan kira-kira RM500,000 untuk memulihkan infrastruktur yang musnah, membeli buku dan peralatan pembelajaran yang lain," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Nasir Khan yang sudah empat kali memasuki Gaza bagi misi bantuan kemanusiaan sebelum ini, berkata beliau bersama dua ahli PBAM akan berlepas ke Palestin sebaik saja dana mencukupi.

"Kami akan memasuki Gaza menerusi pintu Rafah di Mesir jika dibenarkan atau di Ramallah selepas Aidilfitri. Semuanya bergantung dengan maklumat terkini di sana," katanya.

Maklumat lanjut berhubung misi ini boleh menghubungi Nasir Khan di talian 0126665954.

Sumber: BH Online