KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan telah menarik balik kesemua pegawai keselamatan kecuali seorang pegawai Aide De Camp (ADC) yang ditugaskan untuk beliau dan keluarganya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya tidak menarik balik kawalan keselamatan yang diberikan terhadap Najib sebaliknya hanya mengurangkan jumlah anggota yang ditugaskan itu.
“Setiap bekas perdana menteri mempunyai kelayakan tertentu namun, jumlah anggota yang bertugas tidak sama seperti sebelumnya. Kita hanya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Bagaimanapun anggota yang bertugas seperti ADC, pemandu serta pengawal peribadi masih ditempatkan bagi mengawal keselamatan beliau dan Datin Seri (Rosmah Mansor),” katanya selepas Majlis Iftar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Warga PDRM dan agensi Kementerian Dalam Negeri di Masjid Bukit Aman di sini, semalam.
Menerusi laman sosialnya hari ini, Najib memuat naik kenyataan yang mendakwa kesemua pegawai keselamatan, polis pengiring serta pegawai bantuan, yang ditugaskan kepadanya telah ditarik balik oleh kerajaan baharu kecuali seorang pegawai ADC, sejak beberapa minggu lepas.
“Hari ini, saya membalas tabik hormat dan mengucapkan selamat tinggal kepada kumpulan pengawal pengiring, Unit Tindakan Khas, polis pengiring dan pegawai, yang ditugaskan untuk menyediakan kawalan keselamatan dan bantuan kepada saya dan keluarga sama ada di Pejabat Perdana Menteri serta di kediaman rasmi Seri Perdana,” kata Najib.
Najib berkata beliau dan keluarga tidak akan melupakan jasa, persahabatan dan kesetiaan mereka sepanjang sembilan tahun termasuk mereka yang sudah berjasa kepadanya selama 14 tahun semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.
“Saya juga mohon kerajaan baharu supaya sentiasa menjaga kebajikan mereka kerana mereka adalah anggota dan pegawai berdedikasi yang akan berkhidmat kepada kerajaan hari ini dengan penuh kesetiaan,” katanya. – BERNAMA