Pelumba Basikal Warga Singapura Hilang Ketika Menyertai Perlumbaan


BATU GAJAH – Seorang pelumba basikal warga Singapura dilaporkan hilang di Jalan Siputeh – Batu Hampar menuju ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng dekat sini ketika menyertai perlumbaan menunggang basikal Perak Century Ride 2018 kelmarin. 

Kehilangan mangsa, Abdul Samat Ismail, 56, disedari ahli pasukannya kira-kira pada pukul 6 petang selepas dia tidak muncul ke garisan penamat. 

Menurut jurucakap penganjur perlumbaan, kali terakhir mangsa dilihat kira-kira pada pukul 1.45 tengah hari ketika melewati Water Station 4 di laluan tersebut bersama seorang lagi rakannya. 

“Rakan mangsa bertindak meneruskan perjalanan bagi menamatkan perlumbaan namun mangsa dikatakan mahu berehat seketika di Water Station 4 itu. 

“Perlumbaan sejauh 160 kilometer itu bermula di RTC Gopeng pada pukul 7 pagi dan sepatutnya semua peserta tiba di garisan penamat selewat-lewatnya pada pukul 3 petang sebelum majlis penutup bermula,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam. 

Tambahnya, mangsa bagaimanapun tidak muncul di garisan penamat dan ketua pasukannya memaklumkan kepada pihak penganjur mengenai kejadian itu pada pukul 6 petang. 

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Tarmizi Shaari berkata, pihaknya menerima laporan daripada pihak penganjur kira-kira pada pukul 8 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah di sini selepas usaha penganjur mencari mangsa di laluan tersebut gagal menjumpai mangsa. 

“Seramai 18 anggota dan pegawai segera digerakkan bagi mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai tersasar dari laluan kejohanan yang melalui kawasan perkampungan itu. 

“Usaha mencari dan menyelamat pada hari pertama (semalam) sehingga pukul 1 pagi menemui jalan buntu dan pihak polis tidak mengesan apa-apa tanda melibatkan mangsa di sepanjang laluan tersebut,” katanya.

Tambah Ahmad Tarmizi, usaha menjejaki dan menyelamatkan mangsa diteruskan pada hari kedua (hari ini) dan keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut. 

“Sekiranya orang ramai ada melihat atau menjumpai mangsa, sila laporkannya kepada Pegawai Trafik IPD Batu Gajah, Inspektor Mohd. Razi Awang di talian 011-1293 2264 atau menyalurkan maklumat tersebut kepada Balai Polis berhampiran,” katanya. 

Sumber - K! ONLINE