REMBAU - Gabungan pembangkang PKR dijangka memainkan lebih banyak isu fitnah bagi membangkitkan kemarahan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, isu calon PKR di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr. Streram yang gagal masuk ke pusat penamaan calon di Rembau baru-baru ini adalah permulaan bagi mencetus-kan sentimen kebencian tersebut.
Katanya, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sengaja memainkan isu tersebut seperti yang pernah dilakukan pada 2013 apabila mendakwa kononnya 40,000 pengundi Bangladesh dibawa masuk bagi memenangkan BN.
“Dia mulakan dengan cerita di Rantau dan saya percaya ada banyak lagi yang tuduhan pada hari-hari akan datang untuk mempertikaikan keputusan pilihan raya. Cerita di Rantau adalah siri pertama, selepas ini dia akan cari cerita lain.
“Ia bukan sangat soal di Rembau tetapi ini momentum pembangkang untuk menimbulkan kemarahan rakyat dan mempertikaikan kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk cuba mempengaruhi undi pada saat-saat akhir,” katanya dalam sidang akhbar selepas program walkabout di pekan Rembau di sini hari ini.
Rafizi baru-baru ini menuduh insiden kegagalan Streram mengemukakan pencalonan pada Sabtu lalu didalangi oleh Khairy dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan kerana tidak memiliki pas calon yang diperakukan SPR sekali gus Mohamad diisytiharkan sebagai menang tanpa bertanding di kerusi tersebut.
Khairy yang merupakan calon BN bagi Parlimen Seremban berkata, SPR juga perlu segera tampil membuat penjela-san terhadap isu-isu dibangkitkan pembangkang dan tindakan perlu diambil terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu dan fitnah.
Khairy juga yakin kebanyakan pengundi sudah membuat keputusan tentang calon yang akan dipilih mereka pada PRU-14.
“Saya percaya pengundi sudah mempunyai pilihan dan jumlah pengundi atas pagar semakin kecil. Tetapi kita tidak mahu yang dikendong keciciran dan (pengundi) yang dikejar kita pastikan menyokong BN,” katanya.
Sumber: Utusan Online