Pembayaran BR1M Sebelum Aidilfitri – Lim Guan Eng


KUALA LUMPUR – Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dibayar kepada penerima pada bulan hadapan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menerusi laman sosial Twitter rasminya semalam, beliau berkata bantuan kewangan itu akan diberi nama baharu. Beliau namun berkata maklumat lanjut mengenai bantuan itu akan diumumkan pada minggu depan.

“Sepertimana yang diarahkan oleh (Perdana Menteri) Tun (Dr Mahathir Mohamad) @chedetofficial, BR1M (yang akan diberikan nama lain) akan dibayar pada bulan Jun sebelum Hari Raya Aidilfitri,” kata Lim dalam catatan itu.

Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan pemberian BR1M yang diteruskan di bawah kerajaan Pakatan Harapan akan dikaji semula bagi memastikan hanya golongan yang benar-benar layak menerimanya. – BERNAMA