Penduduk Kuala Nerang Mohon Selenggara Parit


KUALA NERANG - Penduduk dan petani di Kampung Barokas, Mukim Belimbing Kanan merayu pihak bertanggungjawab dapat membina sistem perparitan yang lebih sempurna bagi mengelakkan banjir di kawasan itu.

Mereka mendakwa, setiap kali hujan lebat pasti masalah banjir kilat akan berlaku hingga menyebabkan air melimpah masuk ke dalam rumah atau sawah.

Mohd Riban Zainon, 42, berkata, jika hujan turun selama sejam sudah pasti kawasan itu akan dilimpahi air dan masuk ke kediaman berdekatan.

“Air dalam longkang tak dapat mengalir hingga ke tali air berdekatan, sebab tu melimpah ke kawasan berdekatan.

"Perparitan yang wujud sekian lama sudah ditambak penduduk hingga menyebabkan air sukar untuk mengalir ke tali air.

“Keadaan bertambah parah lagi apabila parit yang sedia ada ini tidak dalam kerana berlakunya hakisan hingga menjadi cetek,” katanya.

Menurut Mohd Riban, paling membimbangkan ialah hujan pada waktu malam menyebabkan banyak barangan rumah dibawa arus ke dalam hutan berdekatan.

“Oleh itu saya berharap pihak Pejabat Daerah Padang Terap dapat turun bagi melihat masalah yang dihadapi penduduk dan petani di sini.

"Pernah masalah ini dimaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pada masa dahulu tetapi sehingga kini belum ada sebarang tindakan,” katanya.

Abd Muin Kassim, 66, pula berkata, dia kerugian kira-kira RM4,000 selepas benih padi yang ditaburnya musnah dibawa arus air yang masuk ke dalam sawahnya.

Katanya, petani di sini terpaksa melihat cuaca terlebih dahulu untuk menabur benih padi kerana bimbang hujan.

“Dulu tak timbul pun masalah ini. Tapi sejak tiada penyelenggaraan dan ada pihak yang menambak tanah hingga tertutup parit menyebabkan petani di sini menanggung kerugian.

“Diharap parit simen dibina supaya tidak mudah terhakis seperti parit tanah sekarang ini. Dengan parit simen pihak berkenaan tidak perlu selalu menyelenggarakan seperti sekarang.

“Oleh itu saya berharap pihak berkenaan dapat korek kembali parit yang sedia ada supaya hujan dapat mengalir ke tali air dan tidak melimpah lagi masuk ke sawah atau kediaman penduduk,” katanya.

Sumber: Sinar Online