PUTRAJAYA - Penengah dan purata gaji bulanan yang diterima pekerja di negara ini masing-masing meningkat 7.7 peratus dan 8.1 peratus pada 2017, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata nilai penengah gaji dan upah bulanan pada tahun lalu meningkat kepada RM2,160 daripada RM2,000 pada 2016, manakala purata gaji dan upah meningkat kepada RM2,880 berbanding RM2,000.
Katanya, peningkatan gaji dan upah itu adalah selari dengan prestasi ekonomi Malaysia yang merekodkan pertumbuhan 5.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017 berbanding 4.2 peratus tahun sebelumnya.
"Penengah gaji dan upah bulanan bagi pekerja lelaki mencatatkan pertumbuhan 8.2 peratus, manakala pekerja perempuan sebanyak tujuh peratus.
"Dari segi purata gaji dan upah bulanan, pekerja perempuan merekodkan kadar pertumbuhan lebih tinggi iaitu 9.1 peratus manakala pekerja lelaki pada 7.5 peratus," katanya pada Taklimat Prestasi Ekonomi Negeri dan Statistik Gaji dan Upah Malaysia 2017, di sini, semalam.
Mohd Uzir berkata, nilai penengah dan purata gaji dan upah bulanan untuk pekerja berpendidikan pengajian tinggi kekal tinggi dengan masing-masing mencatatkan pertumbuhan tiga peratus dan 7.7 peratus.
"Sementara itu, kadar pertumbuhan penengah gaji dan upah bulanan bagi pekerja di bandar meningkat 6.6 peratus setahun kepada RM2,260.
"Penengah gaji dan upah bulanan pekerja di luar bandar pula meningkat 3.6 peratus kepada RM1,400," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pertumbuhan bagi purata gaji dan upah pekerja di kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar adalah lebih tinggi, masing-masing 7.7 peratus (RM3,038) dan 6.3 peratus (RM2,040).
Sumber: BH Online