Penjawat Awam Kelantan Terima RM500


KOTA BHARU - Seramai 8,000 penjawat awam negeri ini akan menerima sagu hati raya sebanyak RM500, seawal Jumaat ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta untuk tujuan berkenaan bagi meringankan beban golongan itu termasuk kakitangan Yayasan Kelantan Darulnaim sempena sambutan Aidilfitri.

"Dengan sumbangan ini, kita harap mereka berbelanja dengan berhemah untuk membeli kelengkapan raya nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Anggota Perkhidmatan Peringkat Kelantan 2018, di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad menyampaikan anugerah kepada 100 penjawat awam

yang memperoleh Penunjuk Prestasi Utama (KPI) tinggi di jabatan masing-masing.

Ahmad berkata, anugerah itu diberikan sebagai menghargai penat lelah penjawat awam yang membantu kerajaan negeri dalam mentadbir Kelantan.

"Saya berpuas hati dengan usaha dan prestasi disumbangkan kakitangan awam. Diharap dengan pemberian anugerah ini, mereka akan terus menyumbang dan melakukan tugas dengan cemerlang kepada kerajaan negeri," katanya.

Sumber: BH Online