Perkampungan Islam Raudhatul Muslimin Perlu Dana Untuk Ramadhan


KUALA KETIL - Dana diperlukan Perkampungan Islam Raudhatul Muslimin bagi menampung kos berbuka puasa pelajar dan penduduk sepanjang Ramadan belum mencukupi.

Pengerusi Perkampungan Islam Raudhatul Muslimin, Ahmad Shahabudin Ibrahim berkata, dana diperlukan itu bagi menampung iftar kira-kira 300 penduduk dan 80 pelajar Sekolah Rendah Islam Raudhatul Muslimin (SRIRM).

Katanya, ia juga diperlukan bagi membayar wang sagu hati peserta Majlis Tilawah dan Zikir Tahlil.

"Namun pada tahun ini, dana masih belum mencukupi memandangkan banyak pihak sibuk dengan urusan PRU14 baru-baru ini.

"Ketika ini, ada empat organisasi dan dua individu tampil membantu dan cukup untuk menganjurkan iftar pada enam hari pertama," katanya.

Katanya, selain mengharapkan sumbangan orang ramai, kampung berkenaan turut melancarkan kutipan kepada setiap rumah penduduk.

"Kita dah mula kutip, satu rumah RM40. Setakat ini baru dapat RM180. Untuk sumbangan tidak terhad kepada tunai semata-mata.

"Orang ramai juga dialu-alukan untuk menyumbangkan makanan kering seperti ikan masin beras, gula, kopi, teh, susu pekat dan sebagainya," katanya.

Katanya, sekiranya tidak dapat mengumpul dana seperti diperlukan, pihaknya akan tetap berusaha menganjurkan majlis iftar berdasarkan apa yang ada.

"Jika ada ikan masin pun, ikan masin lah buat menu berbuka," katanya.

Ahmad Shahabudin berkata, seramai 90 peserta terlibat bagi bacaan zikir tahlil dan tilawah al-Quran sepanjang Ramadan.

Menurutnya, setiap peserta akan dibayar saguhati namun untuk tahun ini, pihaknya bimbang bayaran tidak dapat dijelaskan.

"Peserta tilawah seramai 30 orang 60 peserta bagi bacaan zikir tahlil. Seminggu sebelum Ramadan kebiasaannya kita ada juga dana, tapi kali ini boleh dikatakan tidak ada" katanya.

Untuk sumbangan boleh disalurkan melalui Bank Islam di nombor akaun 02-048-02-019193-3 atas nama Tilawah dan Tahlil Madrasah Raudhatul Muslimin.

Atau hubungi Ustaz Shahabudin di talian 013-4400403 atau 013-3965883.

Sumber: Sinar Online