Perkeso Kedah Bawa 10 Anak Yatim Beli Baju Raya


ALOR SETAR – Seramai 10 anak yatim di sini teruja dan gembira apabila dibawa membeli pakaian raya anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Isnin.

Pengarah Perkeso Kedah, Mamsor Abdul Manaf berkata anak yatim yang terdiri daripada tiga waris keluarga pencarum yang layak menerima bantuan raya itu dibawa untuk memilih sendiri pakaian raya sempena Aidilfitri di Parkson Aman Central, di sini.

“Kesemua anak yatim yang berumur antara tiga hingga 16 tahun ini telah diperuntukkan sebanyak RM300 seorang untuk membeli pakaian raya yang mana merupakan sumbangan daripada Zakat Wilayah Persekutuan dan kakitangan Perkeso Kedah.

“Tahun lepas Perkeso melaksanakan program agihan keperluan asas sempena raya, tetapi kali ini kita beli baju raya dengan harapan dapat meringankan bebanan keluarga untuk membeli pakaian,” katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Siti Fatimah Chik, 39, dari Taman Aman, di sini, yang kematian suami, Zamri Md Ali pada Januari lalu, gembira dan bersyukur dengan bantuan yang diberikan ini sekali gus membolehkan tiga anaknya berusia tiga, empat dan sembilan tahun dapat membeli pakaian raya.

“Suami meninggal akibat sakit jantung jadi sekarang saya hanya bekerja sebagai guru agama di rumah dan pendapatan bulanan sebanyak RM500 tidak cukup untuk membeli pakaian raya untuk semua anak.

“Bantuan pakaian raya ini sedikit sebanyak meringankan beban dan paling penting dapat menggembirakan anak-anak saya,” katanya.

Sofiah Puteh, 55, dari Kampung Gunung Sali, ketika ditemui, turut menyatakan rasa bersyukur kerana anaknya, Muhammad Amirul Haris, 12, dapat memakai pakaian raya baharu pada hari raya ini.

“Suami, Mohd Hizri Awang meninggal Mac lalu jadi sekarang saya bergantung dengan duit peninggalannya. Kalau hendak beli pakaian sendiri memang tidak mampu tapi saya bersyukur kerana pihak Perkeso prihatin dengan nasib kami,” katanya. – BERNAMA