PH Diharap Beri Lebih Tumpuan Terhadap Isu Rakyat


KUALA LUMPUR – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berharap agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baharu dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semalam, dapat membantu memperluaskan fungsi serta memberi lebih tumpuan terhadap isu-isu diperjuangkan mereka.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor berkata kemenangan PH menumbangkan Barisan Nasional (BN) adalah disebabkan kejayaan parti gabungan DAP, PKR, Amanah dan PPBM itu menumpukan isu-isu semasa sebagai intipati manifestonya.

Antaranya termasuklah agenda gaji minimum, rumah mampu milik dan rakyat sebagai warga pekerja dengan pendapatan tinggi pada 2020.

“Rakyat hari ini bijak menilai sesebuah parti melalui apa ditawarkan. Sudah dua kali rakyat memberi isyarat kepada BN sebelum ini melalui PRU12 dan PRU13 apabila menidakkan dua pertiga majoriti kepada parti berkenaan.

“Akhirnya pada PRU kali ini, PH di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya menggunakan isu-isu semasa yang begitu dekat di hati rakyat terutamanya berikutan kenaikan kos sara hidup yang memberi kemenangan besar kepada mereka,” katanya kepada Bernama.

PH menggunakan logo Parti Keadilan Nasional (PKR) pada PRU14 – yang juga dianggap sebagai ‘ibu segala pilihan raya’ memenangi majoriti mudah dengan memperoleh 113 daripada 222 kerusi Parlimen.

Abdul Halim berkata Dr Mahathir yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh malam ini, pasti akan melakukan sebaik mungkin bagi mengekalkan pentadbirannya termasuklah menjaga kebajikan pekerja di negara ini.

Beliau berkata untuk terus mendapat sokongan rakyat, PH khususnya Dr Mahathir sendiri perlu merealisasikan manifesto parti itu, antaranya menaikkan martabat golongan pekerja dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti.

Katanya, dengan kepakaran dan pengalaman beliau sebagai bekas Perdana Menteri keempat selama 22 tahun, dibantu bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa pemimpin PH yang lain, kerajaan baharu itu dijangka mampu menjalankan tugas mereka dengan baik.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Orang Buta Malaysia (MFB) Silatul Rahim Dahman berkata PH diharap akan terus memberi sokongan kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan baik dari segi moral mahupun bantuan kewangan sepertimana dilakukan kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata perkara itu perlu kerana sebagai badan tidak berorientasikan keuntungan, yayasan tersebut turut menyediakan perkhidmatan murni kepada golongan OKU penglihatan yang sepatutnya dipikul oleh kerajaan.

“Disebabkan kita mempunyai kepakaran dan komitmen yang tinggi bagi membantu OKU penglihatan mahir dalam bidang teknologi dan IT, maka kita amat memerlukan sokongan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata MFB juga berharap kerajaan baharu itu dapat mempertimbangkan untuk melantik seorang senator dalam kalangan OKU penglihatan di Dewan Negara sebagai tambahan kepada wakil OKU sedia ada.

Terdapat kira-kira 45,000 OKU penglihatan di Malaysia ketika ini.

Sementara itu, Presiden Women in Nuclear Malaysia (WiN) Dr Noor Hasnah Mohamed Khairullah berharap PH dapat menyediakan lebih banyak peluang untuk kaum wanita di peringkat lebih tinggi terutama dalam tadbir urus dan pembangunan negara.

“Kami amat yakin dengan kebolehan pimpinan barisan PH dan berharap agar lebih banyak dasar baharu yang mengambil kira keperluan, kebolehan dan keistimewaan kaum wanita dalam pelbagai aspek akan diwujudkan,” katanya .

Pengerusi Malaysians Against Pornography (MAP) Dr Shamsuriani Md Jamal berharap PH mampu menangani masalah gangguan seksual dan fizikal terhadap wanita dan kanak-kanak serta penguatkuasaan undang-undang melibatkan isu berkenaan. – BERNAMA