KULIM - Projek-projek pembangunan yang dirancang dan dijalankan oleh kerajaan BN terdahulu di kawasan ini akan dikaji semula ketelusannya.
Adun Kulim, Yeo Keng Chuan berkata pihaknya akan mengkaji semula projek pembangunan yang dirancang dan dibangunkan di kawasan ini untuk mengelak unsur-unsur rasuah dan penyelewengan terus berlaku.
Menurutnya, sekiranya tidak ada sebarang masalah dan keraguan, projek tersebut boleh diteruskan seperti biasa untuk pembangunan di kawasan ini.
"Kita akan lihat balik dan kaji semula untuk elak ada isu peyelewangan termasuk berlaku rasuah, ini yang kita tentang.
"Kalau tak ada apa-apa masalah kita akan teruskan ini untuk pembangunan di kawasan ini, dan juga kemudahan rakyat.
"Contohnya seperti Jalan Kota Kenari, projek naiktaraf jalan sedang dijalankan, itu kalau tak ada apa-apa masalah ia akan berjalan seperti biasa dan saya lihat ia memang perlu dibaiki kerana begitu teruk,"katanya kepada media.
Beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan manifesto yang dijanjikan kepada rakyat pada PRU14 ini akan ditunaikan termasuk memperbanyakkan lampu jalan, dan menaiktaraf jalan-jalan yang rosak.
"Kita ada manifesto kita, dan setelah berjaya ambil alih kerajaan semua janji itu akan ditunaikan dari semasa ke semasa.
"Aktiviti pelancongan juga salah satu manifesto kita, tempat-tempat tarikan pelancong akan dinaiktaraf seperti Tasik Tunku Putra Kulim kalau nak jadikannya sebagai mercu tanda perlu dinaiktaraf,"katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengarahkan kesemua projek kerajaan negeri dan syarikat milik kerajaan (GLC) yang bernilai melebihi RM100,000 ditangguhkan untuk penilaian semula dan perlu diselaras dengan kemampuan kewangan negeri.
Sumber: Sinar Online