Pilih Parti Dapat Ubah Hidup Lebih Baik – PM


SANDAKAN – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat berfikir secara bijak dan rasional dengan memilih parti yang boleh menjadikan hidup mereka lebih baik pada masa akan datang.

Beliau berkata kriteria yang perlu diberi perhatian adalah tidak harus memilih pihak yang memainkan emosi, slogan, menabur fitnah dan mengejar agenda peribadi.

“Itu bukan kriteria yang baik sebab itu kena guna akal fikiran untuk memilih siapa yang boleh menjadikan hidup lebih baik pada masa datang.

“Menyokong Barisan Nasional (BN) sebab kita semua tahu bahawa dalam pilihan raya, kita (kena) pilih apakah ukurannya, apakah kriterianya,” katanya pada majlis perasmian Sekolah Kebangsaan Bahagia di Batu Sapi dekat sini, semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, calon BN di kawasan Parlimen Batu Sapi Datuk Linda Tsen Thau Lin, calon BN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong Datuk Samsudin Yahya dan calon BN DUN Karamunting Lim Kai Ming pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Dalam pada itu, Najib yang juga pengerusi BN pusat menyatakan komitmen berterusannya untuk membangunkan Sabah bagi menghapuskan jurang pembangunan antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjung.

Menurutnya seluruh kawasan wilayah Sabah akan berubah dalam masa lima tahun akan datang.

“Kita (kerajaan BN) ada agenda dan bukan nak lepaskan janji sahaja atau janji di mulut bukan di hati. Kita ini janji kita tepati, sebab itu jika Barisan Nasional diberi kepercayaan, saya berjanji akan terus menyokong supaya negeri Sabah akan lebih maju lagi,” katanya.

Najib berkata komitmen beliau terhadap negeri ini dapat dinilai dengan kekerapannya melawat negeri ini sejak sembilan tahun menjadi perdana menteri.

Menurutnya beliau lebih kerap melawat Sabah berbanding pemimpin parti pembangkang yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun yang jelas merujuk kepada Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ketuanya (Dr Mahathir) pernah 22 tahun memimpin negara ini tetapi tidak dekat dengan orang Sabah. Maknanya orang Sabah tidak (berada) dalam hati kecilnya,” katanya.

Mengambil contoh peruntukan RM1 bilion bagi menaik taraf sekolah daif di Sabah dalam Bajet 2018, Najib berkata ia merupakan satu janjinya sebagai perdana menteri kepada rakyat negeri ini.

Beliau menyedari banyak sekolah daif di negeri ini dan masalah itu turut disuarakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

“Beliau (Musa) tidak bermimpi saya bagi RM1 bilion. Ini merupakan janji saya sebagai perdana menteri dan bagi memastikan jurang pembangunan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung dihapuskan,” katanya.

Perdana menteri berkata pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dengan peruntukan RM16 bilion yang dilaksanakan secara berfasa merupakan komitmen berterusan beliau kepada Sabah bagi meningkatkan kemudahan jalan raya untuk keselesaan rakyat.

Najib berkata banyak lagi agenda pembangunan akan dilaksanakan untuk Sabah bagi memastikan negeri ini terus maju dengan lebih pesat lagi. - Bernama