Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri buat kali kedua adalah 'lebih menggerunkan' berbanding kali pertama pada 1981, berikutan suasana berbeza yang membabitkan kerajaan gabungan baharu.
Pada waktu itu, tegas Perdana Menteri, kerajaan berada dalam keadaan kukuh kerana tidak berlaku perubahan kepemimpinan, berbeza ketika ini.
"Sekarang, saya perlu mengisi Kabinet dan menstruktur semula kerajaan untuk memenuhi manifesto kami (Pakatan Harapan), ia juga perlu selari dengan apa yang dimahukan rakyat.
"Ia memang lebih sukar kali ini (berbanding 1981). Ini memang 'menakutkan'. Saya perlu mendengar taklimat dan kemudian mengisi kekosongan jawatan oleh mereka yang tidak saya kenali.
"Semuanya mengambil masa yang panjang (untuk membentuk kerajaan). Saya tidak pasti mengenai ketentuan, namun nampaknya saya 'terpaksa' kembali berkhidmat. Ini mungkin takdirnya, namun saya ada tugas perlu dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama akhbar The Edge yang disiarkan dalam keluaran terbarunya.
Dr Mahathir berkata, banyak pihak tidak berpuas hati dengan pentadbiran terdahulu dan berpandangan wujud pelbagai kepincangan dari segi pelaksanaan.
"Kita perlu membongkar segala apa yang tidak betul. Kita juga mempunyai pegawai yang berkhidmat dengan kerajaan sebelum ini.
"Ada antara mereka berperanan secara langsung pada kempen pilihan raya umum lalu dan kita tidak pasti apakah mereka ini setia kepada parti politik atau negara.
"Saya berkhidmat dalam suasana tidak menentu. Saya perlu bekerja bersama struktur kerajaan sedia ada yang 'dirosakkan' pentadbiran terdahulu.
"Tugas (sebagai Perdana Menteri) lebih sukar sekarang (berbanding 1981)," katanya.
Ketika melepaskan jawatan Perdana Menteri pada 2003, Dr Mahathir menyangka persaraan akan membolehkannya berehat dengan aman.
"Bagaimanapun, belum sampai seminggu saya menikmati ketenangan, ada yang datang berjumpa dan meminta saya memberi nasihat kepada kerajaan (pimpinan penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi).
"Anda sendiri tahu Abdullah melepaskan jawatan tidak lama kemudian kerana tidak mampu memberi yang terbaik.
"Beliau (Abdullah) mencapai kejayaan terbaik (Barisan Nasional) pada pilihan raya umum pertamanya dan umum meletak harapan tinggi untuk beliau memimpin negara dengan cemerlang, tetapi keadaan menjadi sebaliknya antara 2004 hingga 2008 sebelum beliau berundur," katanya.
Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 10 Mei lalu manakala Timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang mencatat sejarah sebagai wanita pertama di negara ini memegang jawatan berkenaan, pada 21 Mei.
Ditanya sejauh mana proses 'pembersihan kerajaan' akan menjejaskan operasi, Dr Mahathir menegaskan, perjalanan pentadbiran tidak terganggu.
"Kita akan berhati-hati dalam berbelanja. Segala-galanya akan dilakukan dalam lingkungan pendapatan dan pendapatan kita agak besar ketika ini.
"Kita bernasib baik kerana harga minyak semakin meningkat. Ketika saya menjadi Perdana Menteri dulu, harga minyak ialah AS$30 satu tong, namun kita tidak menanggung beban hutang yang melampau. Semuanya bergantung kepada cara kita berbelanja," katanya.
Sumber - BH