PM Umum Kabinet Esok


KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Mesyuarat Majlis Tertinggi Presiden Pakatan Harapan (PH) bersetuju Kabinet akan diumumkan esok dan sebagai permulaan 10 kementerian utama dibentuk.

Perdana Menteri berkata, semua empat pemimpin utama parti bersetuju pada masa ini hanya Kabinet kecil dibentuk membabitkan kementerian yang penting.

"Kita tidak perlukan Kabinet yang besar. Untuk itu kami namakan 10 kementerian saja dan tidak namakan menteri.

"Setiap parti diberikan mandat untuk menentukan dan menamakan calon Menteri yang mereka fikirkan sesuai.

"Kami memberikan masa kepada setiap parti untuk bermesyuarat dan memilih kementerian yang mana mereka mahukan untuk meletakkan calon masing-masing.

"Majlis Tertinggi Presiden akan meneliti nama calon untuk menentukan barisan Kabinet, " katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Presiden Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Al-Bukhary di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah.

Dr Mahathir berkata, 10 kementerian itu ialah Kementerian Kewangan; Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Pertahanan; Kementerian Pendidikan; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; Kementerian Ekonomi; Kementerian Kerja Raya; Kementerian Pengangkutan, Kementerian Multimedia, Sains and Teknologi dan Kementerian Luar.

Beliau menegaskan pendekatan sama rata akan dipraktikkan bagi menentukan Menteri dalam barisan Kabinetnya

"Semua wakil parti dalam PH akan diberikan jawatan dan setiap kementerian mempunyai kekuatan dan keutamaan masing-masing berdasarkan peranannya, " katanya

Sumber: BH Online