Polis Kedah Terima 61 Laporan Polis Berkaitan PRU14


ALOR SETAR - Polis Kedah menerima 61 laporan polis berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sepanjang tempoh berkempen sejak 28 April lalu hingga hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, daripada jumlah itu 31 kes membabitkan kejadian berkaitan kerosakan poster, sepanduk dan bendera parti manakala tiga kes membabitkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Beliau berkata, selain itu pihaknya turut menerima satu laporan polis membabitkan pencerobohan jenayah, tiga kacau ganggu dan 23 laporan berkaitan hal-hal lain.

"Daripada 61 laporan itu, 10 kertas siasatan dibuka untuk membantu siasatan.

"Untuk tiga kes bagi Akta Antiberita Tidak Benar, pihak kami menerima satu kes yang dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu berkaitan fitnah yang dibuat ke atas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

"Satu lagi laporan diterima daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mendakwa difitnah menerima wang sogokan di IPD Kulim dan satu lagi di IPD Kuala Muda daripada ahli UMNO yang mendakwa difitnah menjadi duri dalam daging," katanya pada sidang media di IPK Kedah hari ini.

Sahabudin berkata, tiga kes itu disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Berita Tidak Benar 2018.

Ditanya mengenai kes yang membabitkan calon Barisan Nasional (BN) Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff yang didakwa menerima ugutan berkaitan senjata, beliau memaklumkan tiada sebarang laporan diterima setakat ini.

Beliau berkata, sekiranya mana-mana calon atau parti yang menerima sebarang ugutan perlu membuat laporan polis terlebih dahulu untuk membantu siasatan.

"Setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan dan sekiranya laporan itu berbaur ugutan kita akan siasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan tapi kita kena tengok laporan terlebih dahulu," katanya.

Terdahulu, Sahabudin bersama pegawai dan anggotanya seramai 6,313 termasuk isteri polis Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2 Kulim serta pesara polis yang belum menukar status kepada awam menunaikan tanggungjawab mengundi awal di IPK Kedah hari ini.

Proses pengundian dilakukan bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Daripada jumlah itu, seramai 788 anggota dan pegawai polis yang bertugas di luar negeri ini menjalankan tanggungjawab untuk mengundi secara pos.

Sahabudin berkata, sepanjang tempoh berkempen sejak 28 April lalu, sebanyak 726 ceramah diadakan di negeri ini yang membabitkan 386 dari Barisan Nasional (BN) , 130 ceramah PKR dan dan 21 ceramah oleh PAS.

Beliau berkata, pihaknya meminta pihak yang ingin mengadakan ceramah sepanjang tempoh kempen ini perlu memohon permit terlebih dahulu untuk tujuan keselamatan.

Ia termasuk menguruskan kawalan lalu lintas bagi memudahkan kelancaran kempen untuk semua parti bertanding.

Sumber: BH Online