Polis Nafi Wujud Pengundi Hantu


PASIR MAS - Polis Kelantan menafikan wujudnya dakwaan membawa masuk pengundi hantu di Tanah Merah dekat sini kelmarin untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) esok.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, polis ada menerima laporan berhubung dakwaan tersebut dan selepas merujuk kepada Jabatan Imigresen negeri pihaknya mendapati kumpulan berkenaan mempunyai dokumen yang sah.

“Mereka ini ada yang mempunyai dokumen sah seperti pas sempadan dan pasport. Sebahagian besar daripada mereka ini mempunyai kad pengenalan.

“Bagi saya isu pengundi hantu ini tidak timbul. Kita tidak boleh cop mereka ini pengundi hantu, apa yang ditularkan itu sama sekali tidak betul,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas turun padang bertemu dengan pegawai dan anggota polis yang akan bertugas pada PRU-14 di negeri ini esok.

Hasanuddin memberitahu, kesemua mereka ini telah dibawa ke depoh Imigresen terlebih dahulu.

“Selepas itu kesemua mereka ini dibawa ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQS) Bukit Bunga untuk balik ke destinasi masing-masing.

“Yang mana ada pas sempadan atau pasport terpulang kepada mereka samada mahu kembali Ke Thailand atau berada di sini. Hal ini kerana mereka masuk secara sah. Yang mana ada kad pengenalan sah mereka adalah warga negara ini,” ujarnya. 

Sumber - K! ONLINE