PPM Langkawi Rampas 100kg Daun Ketum Seludup


LANGKAWI - Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi menggagalkan cubaan menyeludup 100 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai RM10,000 ke negara jiran, awal pagi semalam.

Pegawai Pemerintah Polis Marin Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid, berkata rampasan dilakukan di Pelantar Tengah Kampung Pulau Ketam, Kuala Perlis, pada jam 4.30 pagi.

"Berbekalkan maklumat awam, sepasukan anggota PPM melancarkan Ops Landai dengan membuat pemeriksaan di pelantar terbabit sebelum menemui lima plastik hitam ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan mendapati plastik terbabit mengandungi tumbuhan hijau disyaki daun ketum yang sudah siap dibungkus," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, bagaimanapun anggota PPM gagal mengesan pemilik daun ketum itu selepas menunggu hampir dua jam.

"Daun ketum yang dirampas dianggarkan seberat 100kg dan bernilai RM10,000 serta dipercayai cuba diseludup menerusi jalan laut ke negara jiran.

"Daun ketum terbabit sudah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar untuk tindakan lanjut," katanya.

Rohizan berkata, kejayaan rampasan itu adalah yang kedua dilakukan PPM dalam tempoh seminggu.

"Sebelum ini, seorang lelaki tempatan ditahan bersama daun ketum seberat 50 kg, selain merampas sebuah kereta kancil miliknya.

"Saya ingin mengingatkan bahawa PPM Kedah/Perlis sentiasa memberikan komitmen tinggi dalam membanteras jenayah rentas sempadan," katanya.

Sumber: BH Online