GUAR CHEMPEDAK- Pertubuhan Kebajikan Berkat dengan kerjasama Masjid Al Wustha Guar Chempedak menganjurkan program pemberian barang makanan dan pakaian secara percuma kepada semua tetamu yang hadir di pekarangan masjid itu, semalam.
Pengarah program, Muhamad Ismail berkata, ini adalah program yang julung kali diadakan dan ia mendapat sambutan yang amat baik.
Katanya, kesemua pemberian ini adalah hasil kutipan badan Pertubuhan Kebajikan Berkat daripada orang ramai.
“Hari ini kita sediakan barangan keperluan harian secara percuma seperti minyak, gula, beras, bawang, bihun dan banyak lagi,” katanya.
Menurut Muhamad, selain barang makanan, turut diberi secara percuma ialah pakaian, pinggan dan juga alatan permainan kanak-kanak.
“Kesemua barang yang disediakan ini boleh dimanfaatkan kepada 1,000 orang, insya-ALLAH,” katanya.
Muhamad berkata, meskipun diberikan secara percuma tetapi mereka yang mengambilnya juga telah dihadkan dengan jumlah barang tertentu.
“Setiap orang boleh ambil serba satu sahaja dari setiap jenis barangan yang kita sediakan.
"Tapi kalau ada yang ambil setakat dua tu kita biarkan saja.
“Kita nak pastikan semua orang berkesempatan untuk merasai barangan percuma ini,” katanya.
Tambah Muhamad, tujuan program ini diadakan adalah bagi merapatkan lagi ukhuwah dalam kalangan masyarakat.
“Selain itu juga kita nak mengimarahkan masjid dengan aktiviti sebegini selain melatih orang ramai menderma,” katanya.
Sumber: Sinar Online