PRU14: Nasihat Ku Li Kepada Pengundi Atas Pagar


KUALA LUMPUR – “Undi untuk keamanan, undi untuk kestabilan dan undi untuk perpaduan. Agar kita beroleh kemajuan.”

Nasihat ini diungkapkan veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah kepada pengundi atas pagar dan mereka yang masih belum membuat keputusan tentang calon yang menjadi pilihan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rabu depan.

Ditanya bagaimana beliau mentakrifkan keamanan, bekas menteri kewangan itu berkata: “Keamanan adalah apabila kita tidak mencampuri hidup orang lain supaya kita boleh bertolak ansur antara satu sama lain sebagai jiran yang baik serta sahabat yang karib dan kita boleh terus hidup bersama-sama.”

Tengku Razaleigh, yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li, turut mengingatkan pengundi supaya berfikir dengan mendalam sebelum memilih calon oleh kerana setiap calon berusaha untuk menambat hati pengundi dengan menyatakan merekalah yang terbaik dan boleh dipecayai.

“Tapi, adakah mereka sesungguhnya boleh dipercayai? Bolehkan anda menikmati kestabilan yang kita peroleh hari ini jika anda memilih orang yang anda tidak kenali atau yang anda kenali tetapi tidak boleh dipercayai untuk terus mengendalikan hidup anda?,” katanya ketika diwawancara dalam rancangan bual bicara ‘The Nation’ terbitan Bernama News Channel.

Program itu disiarkan dalam dua siri, masing-masing pada 3.30 petang ini dan 3.30 petang Selasa depan.

“Ia bukanlah hanya tentang hidup anda, ia juga tentang hidup anak cucu anda dan masa depan negara ini,” kata Ketua Bahagian UMNO Gua Musang berusia 81 tahun itu, yang akan mempertahankan kerusi Palimen Gua Musang yang disandangnya sejak 1974.

Ketika ditanya tentang keperluan bagi pilihan raya yang adil dan bebas bagi mendukung proses demokrasi di Malaysia, Tengku Razaleigh berkata rakyat perlu diberi kebebasan untuk memilih wakil rakyat yang bagi mereka, layak diberikan kuasa untuk mentadbir negara ini.

“Bagi saya, demokrasi diwujudkan dengan rakyat diberi kuasa untuk membuat pilihan, justeru, agar mereka bebas membuat pilihan, kita adakan pilihan raya setiap lima tahun,” katanya.

Beliau berkata calon dan semua parti yang bertanding dalam PRU14 perlu mengelak daripada membangkitkan sebarang rasa gentar atau bimbang untuk membolehkan pengundi bebas memilih.

“Jadi, kita memperoleh calon terbaik yang menjadi pilihan rakyat dan bagi saya, jika ia dipatuhi dan dilakukan dengan betul, maka saya rasa kita akan mempunyai kerajaan yang baik,” katanya. - Bernama