#PRU14 Parlimen Langkawi: BN Menang, PAS Pun Menang Juga...

KERUSI Parlimen Langkawi menjadi tumpuan dunia. Tumpuan itu ekoran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding di kerusi tersebut mencabar penyandangnya, Dato' Ir Nawawi Ahmad yang mewakili Barisan Nasional (BN).

Namun begitu, jangan lupa pula pada calon PAS, Zubir Ahmad yang turut bertanding di kerusi yang sama pada PRU ke-14 ini. Meskipun tewas merebut kerusi Dun Ayer Hangat pada PRU ke-13 yang lalu, PAS lebih berpengaruh di sini berbanding PKR dan PPBM.

Jika dilihat dari sudut sentimen politik, Pakatan Harapan merupakan musuh utama BN dan PAS pada PRU kali ini. Biarpun tidak bergabung dan bertembung antara satu sama lain, titik persamaan BN dan PAS yang mempunyai "musuh" yang sama itu adalah ketara.

Ungkapan "asalkan bukan Pakatan Harapan" kini meniti dibibir anak-anak muda Kedah, termasuk di Langkawi. Bersekongkol dengan puak "harbi" yang berteraskan DAP langsung tidak dapat diterima dan dilihat sebagai perjuangan yang cukup memalukan.

Dalam ertikata lain, bagi majoriti orang PAS, biar partinya tewas kepada BN asalkan bukan calon Pakatan Harapan yang menang. Kemenangan Pakatan Harapan secara tidak langsung akan membuat DAP semakin "besar kepala" di persada politik di negara ini.

Walau bagaimanapun, PAS dilihat sangat sukar untuk menandingi kekuatan BN yang selama ini berjaya membangunkan Pulau Langkawi. Walau terpalit dengan sedikit isu kontroversi di zaman pemerintahan "kuku besi" Tun M dulu, namun orang PAS di sini turut akui menikmati kesan positif pembangunan tersebut.


Zubir sendiri tewas dengan majoriti besar 5,311 undi yang diperoleh calon BN, Dato' Mohd Rawi Abdul Hamid pada PRU yang lalu. Di atas kertas mahupun realistik di peringkat akar umbi, amat sukar sekali bagi PAS mencabar kekuatan BN bagi kerusi Parlimen kali ini.

Justeru itu, ramai yang melihat bahawa pencalonan Zubir hanyalah sebagai memenuhi syarat penyertaan PAS dalam perebutan kerusi Parlimen Langkawi.

Paling menarik, difahamkan bahawa ramai penyokong PAS di Langkawi kali ini akan memberikan undi mereka kepada BN bagi memastikan Tun Dr Mahathir kalah dalam pertandingan tiga penjuru ini.


Jika BN menang, ia juga secara tidak langsung akan memberi kemenangan moral kepada PAS terhadap Tun Dr Mahathir yang selama ini siang malam menghina dan menyerang perjuangan PAS, serta memilih DAP, PAN dan PKR sebagai sahabat sekutunya.

Jadi, seluruh dunia diminta supaya tidak terkejut jika Tun Dr Mahathir yang berusia 93 tahun itu tewas mengejut esok!

Selain sentimen "BN menang, PAS pun menang jugak" yang kini melanda para pengundi di Langkawi, terdapat juga faktor-faktor signifikan lain yang dijangka akan membantu kemenangan BN di pulau lagenda ini.


Antaranya adalah keyakinan masyarakat Langkawi sendiri yang tidak dapat menerima tindakan Tun Dr Mahathir yang mereka sanjungi, tiba-tiba bertukar arah bersekongkol dengan DAP, PAN dan PKR yang berpuluh-puluh tahun dimusuhi bekas Perdana Menteri itu.

Orang Langkawi juga difahamkan tidak berkenan dengan sikap dan cara Tun Dr Mahathir berkempen dengan memburuk-burukkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak, secara keterlaluan, seolah mengajar mereka untuk mengamalkan pendekatan politik tidak sihat.

Faktanya, orang Langkawi terkenal dengan sikap mesra sesama mereka meskipun berbeza fahaman politik. Namun sikap Tun Dr Mahathir yang "mengapi-apikan" politik kebencian telah membuat mereka mual dan tidak setuju memilih beliau sebagai wakil rakyat.

Selain itu, pendekatan Najib yang membariskan 18 inisiatif yang memberi penumpuan kepada kebajikan dan kemudahan infrastruktur di Langkawi bernilai puluhan bilion ringgit dalam tempoh lima tahun baru-baru ini merupakan satu tawaran yang sangat menarik.


Bagi orang Langkawi, rugilah mereka menolak tawaran yang memberi manfaat besar kepada mereka dalam tempoh lima tahun itu berbanding Pakatan Harapan yang hanya sibuk menghina dan menjaja retorik politik kebencian untuk memikat hati mereka.

Sekali lagi diingatkan, jangan terkejut jika Tun Dr Mahathir yang dianggar "giant" di mata dunia akan tewas mengejut esok. Biarpun dibantu oleh beberapa individu "terkaya" di negara ini yang turun padang berkempen untuknya, orang Langkawi dapat menghidu muslihat perjuangan beliau yang bersifat kepentingan peribadi itu.

Malam ini, Tun Dr Mahathir berkempen kali terakhir di Dewan Ho Ping, di sini. Namun esok, orang Langkawi termasuk orang PAS akan bangkit bersama menewaskan "ayam tambatan" Pakatan Harapan di pulau lagenda ini. - Kedahnews.com