PRU14: Survei Senjata Akhir Pengaruhi Pengundi


PERANG survei atau tinjuan pendapat akan memanaskan suasana hari-hari terakhir kempen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Tinjauan pendapat untuk mengukur dan menjangka keputusan PRU14 dijadikan senjata saat akhir oleh Pakatan Harapan (PH) pada hari-hari terakhir menuju 9 Mei.

Dapatan-dapatan tinjauan atau kajian ini diterbitkan menjelang hari mengundi dan dilapor oleh media propembangkang sebagai gambaran kemenangan PH, sekaligus berjaya membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.

Setakat ini, beberapa tinjauan kumpulan Invoke yang berpihak pada PKR menunjukkan PH akan menang manakala BN dan PAS tewas teruk.

Laporan terkini Invoke menunjukkan hasil dapatan PH “menang tipis”, dan PAS mendapat keputusan paling buruk tanpa menenangi sebarang kerusi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

PH menurut survei Invoke itu bakal menang 111 kerusi daripada 222 keseluruhan kerusi Parlimen, manakala BN mendapat 54 kerusi.

Selain menjangka keputusan pilihan raya, tinjauan juga dibuat dalam bentuk menggambarkan populariti dan kelemahan pemimpin tertentu, seperti menunjukkan sokongan kuat untuk pemimpin PH berbanding pemimpin BN dan Gagasan Sejahtera.

Perang saraf saat akhir ini digunakan untuk menyuntik rasa yakin penyokong dan pengundi, sama ada yang mengundi PH mahupun yang atas pagar.

Matlamat utama perang saraf menggunakan hasil kajian ini juga ialah mempengaruhi pengundi atas pagar dan pengundi Barisan Nasional supaya meyakini kemenangan PH lalu mengubah pendirian kepada mengundi PH kerana takut.

Hasil tinjauan ini juga boleh digunakan untuk mendakwa penipuan berlaku sekiranya keputusan sebenar tidak menepati tinjauan, memudahkan pihak terbabit menggerakkan penyokong untuk mengadakan protes besar-besaran.

Taktik saraf ini juga digunakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRU13 dengan menulis di Twitter sebelum keputusan rasmi yang pakatan pembangkang telah menang dan BN akan melakukan penipuan.

Serangan propaganda ini daripada PH dijangka terus meningkat semakin dekat dengan hari mengundi Rabu nanti. - Kedahnews.com