LONDON - Penonton global akan menyaksikan perkahwinan Putera Harry dan aktres Amerika Syarikat (AS) Meghan Markle Sabtu ini, namun majoriti rakyat Britain tidak berminat dengan acara itu, kata tinjauan YouGov baru-baru ini.
Tinjauan lain, dilakukan kumpulan tekanan anti-monarki Republic, mendapati, 66 peratus rakyat Britain tidak berminat dengan acara itu dengan 60 peratus mereka bercadang menjalani kehidupan biasa pada hujung minggu.
Harry dan Meghan bakal disatukan di Gereja St George di Istana Windsor dengan lebih 5,000 pengamal media dan 10,000 penduduk dijangka mengunjungi bandar itu.
Tinjauan firma YouGov menunjukkan, 57 peratus responden percaya, keluarga diraja perlu membayar bukan hanya untuk perkahwinan itu, tetapi kos menggunakan khidmat polis.
Satu tinjauan pendapat diterbitkan minggu lalu menunjukkan, kebanyakan rakyat Britain lebih suka jika monarki diteruskan di negara itu.
Tinjauan lain oleh firma ComRes mendapati, 58 peratus responden menganggap perkahwinan diraja dan kelahiran terbaharu Putera Louis oleh pasangan Putera William dan Kate adalah acara di mana Britain seharusnya berbangga, walaupun sokongan lebih di kalangan penduduk berusia. -Reuters