Rakyat Mula Beli-Belah 6 Minggu Sebelum Aidilfitri


KUALA LUMPUR  – Rakyat Malaysia cenderung untuk memulakan aktiviti membeli-belah sempena Hari Raya Aidilfitri se­awal enam minggu sebelum sam­butan, menurut tinjauan oleh portal pasaran dalam talian, 11street.

Naib Presiden Perdagangan 11street, Bruce Lim berkata, tinjauan tersebut mendapati majoriti atau 83 peratus daripada rakyat negara ini akan membelanjakan kurang daripada RM1,000 semasa musim perayaan tersebut.

Selain itu beliau memberitahu, sebanyak 40 peratus daripada lebih 5,000 res­ponden yang terlibat dalam tinjauan itu merupakan golongan berusia antara 26 hingga 35 tahun yang gemar membeli-belah secara dalam talian.

“Daripada tinjauan ini kami mendapati rakyat Malaysia gemar membeli-belah lebih awal, lantas membolehkan kami memulakan kempen musim perayaan seawal 2 Mei lalu, dengan diskaun sehingga 90 peratus sepanjang promosi.

“Rakyat Malaysia sentiasa mencari ka­edah berkesan agar dapat memberikan lebih nilai bagi setiap perbelanjaan, maka tahun ini kami menawarkan lebih 120 tawaran berbuka puasa di lokasi-lokasi yang popular,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.


11street turut memperkenalkan kempen terbaharu, Syioknya Raya yang menawarkan pelbagai jenis diskaun melibatkan sehingga 150 jenama popular dan hadiah bernilai sehingga RM30,000 berbentuk barangan elektronik kediaman.

Menurut Lim, pada Ramadan tahun lalu, jualan baucar makanan dan minuman meningkat tiga kali ganda, dengan sebahagian besar pelanggan membuat pembelian baucar bufet secara pukal bagi majlis berbuka puasa.

“Fesyen raya pula kekal sebagai kategori paling popular dalam kalangan pelanggan sepanjang musim perayaan ini dan oleh itu, 11street bekerjasama dengan CJ WOW Shop untuk mempelbagaikan lagi pilihan pakaian Muslimah.

“Di samping pakaian Muslimah, 11street akan memaparkan rangkaian produk paling laris menerusi platformnya, merangkumi barangan kediaman dan dapur, peralatan memasak, perabot serta produk kesihatan dan kecantikan,” katanya.

Sumber: Utusan Online