Rakyat, UMNO Bimbang Hasrat Kerajaan PH Guna GLC Bagi Kepentingan Tertentu


Rakyat Malaysia semakin bimbang dengan hasrat Kerajaan Pakatan Rakyat yang semakin tidak ketentuan dalam membuat keputusan membabitkan ekonomi negara termasuk pelbagai cadangan pihak tertentu yang tiba-tiba timbul termasuklah menjual 25 peratus pegangan dalam Petronas bagi melunaskan hutang 1MDB dan hutang luar yang dikatakan RM1 trilion.

UMNO dan Barisan Nasional selari dengan kebimbangan rakyat dan kecewa jika Kerajaan PH terperangkap dan bertindak di luar kawalan dengan menggunakan GLC atas kepentingan pihak tertentu.

Barisan Nasional dan UMNO tidak bersetuju dengan hasrat kerajaan untuk menjual 25 peratus pegangan di dalam Petronas untuk melunaskan hutang 1MDB dan hutang luar yang diwar-warkan berjumlah RM1 trilion.

Apa tujuan sebenar dan apakah maksud terlindung kepada hasrat yang dikemukakan secara tiba-tiba itu? Apakah kerajaan sudah ketandusan idea untuk mentadbir ekonomi Malaysia yang mendapat penarafan tinggi daripada agensi-agensi antarabangsa seperti Standard & Poor's, Moody's dan Fitch?

Berhentilah daripada mempolitikkan isu 1MDB dan hutang luar negara. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sendiri mengesahkan bahawa hutang negara cuma RM686.8 bilion dan bukannya EM1 trilion yang diwar-warkan oleh PH sebelum ini.

Kerajaan sepatutnya memikirkan cara bagaimana untuk meningkat prestasi Petronas di dalam dan luar negara, menambah pegangan asing dan menaikkan pendapatan, daripada mengambil jalan mudah mencari wang untuk mengkotakan janji-janji di dalam manifestonya.

Umno beranggapan kerajaan PH tidak ada ahli yang dapat berfikir secara 'outside the box' atau di luar kotak bagi memenuhi janji manifesto ini, kecuali mengambil jalan mudah.

Mereka gagal ataupun enggan mengiktiraf sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9 peratus, unjuran yang dibuat oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa, enggan menerima hakikat bahawa aset 1MDB mampu membiayai hutangnya sendiri dan fakta bahawa defisit fiskal kita menurun daripada 3.0 peratus kepada 2.8 peratus.

Kalaulah benar hasil jualan saham Petronas sebanyak RM200 bilion itu dikhaskan untuk membayar hutang negara, dari mana pula lebihan RM800 bilion akan diperolehi untuk mencukupkannya?

 Apakah PH bercadang pula menjual saham dalam dalam syarikat gergasi lain atau menswastakan sebahagian agensi yang ada? Apakah kerajaan akan menjemput penyertaan (atau lebih tepat lagi campur tangan asing) ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ada. Mungkin juga PH boleh memikirkan sebahagian pemilikan di dalam Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Bhd misalnya, dicagarkan pula kepada entiti asing.

Barangkali tenaga profesional di dalam PH hanya berfikir dalam ruang lingkup mereka sendiri, dan enggan berfikir secara rasional dengan ahli ekonomi antarabangsa. Bukankah ini cara mereka sebelum ini, iaitu meminta bantuan pakar asing?

Dan bagaimana pula seorang yang kes rasuahnya masih belum selesai, boleh bercakap mengenai rasuah 1MDB, hutang negara yang direka-reka angkanya dan soal unjuran ekonomi?

Kesediaan kerajaan menghapuskan GST yang setakat ini memperkukuhkan perolehan negara sebanyak RM44.3 bilion berbanding hanya RM 18 bilion di bawah SST tahun 2014 serta hutang PTPTN berjumlah RM45 bilion, mencerminkan betapa hutang RM1 trilion rekaannya tidak langsung memberi kesan negatif kepada rakyat dan negara.

Oleh itu, berhentilah segera sandiwara ini supaya FDI tertinggi dalam sejarah diraih oleh Barisan Nasional dahulu tidak terus ditarik keluar, pasaran saham menjunam dan nilai matawang terus jatuh. Rakyat pasti tidak mahu seolah-olah kerajaan hanya wujud untuk memperkudakan isu ini. Janganlah menyembunyikan kelemahan kerana kelemahan yang ada ini mudah dihidu oleh rakyat.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO
KUALA Lumpur
28 Mei 2018