Ramadan Tempoh Terbaik Berhenti Merokok


TANGKAK - Setiap perokok digesa menggunakan Ramadan ini sebagai tempoh terbaik melatih diri untuk berhenti merokok sekali gus mengurangkan risiko menghidap pelbagai penyakit kronik.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, pengambilan bahan berasaskan tembakau sememangnya tidak dinafikan menjadi faktor kepada masalah kesihatan khususnya penyakit jantung.

Menurutnya, Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Negeri 2018, Program Nafas Baharu Ramadan dan Program mQuit Masjid yang dianjurkan pihaknya ini adalah bertepatan dalam mendidik masyarakat mengurangkan tabiat berkenaan.

“Kita menyambut Hari Tanpa Tembakau Sedunia lebih awal iaitu tiga hari sebelum kedatangan Ramadan berbanding 31 Mei pada tahun sebelumnya.

“Ia bertujuan melancarkan juga kempen Nafas Baharu bersempena Ramadan. Salah satu inisiatif kerjasama Jabatan Agama Islam Johor adalah memperluaskan lagi aktiviti mQuit di masjid dengan menyasarkan pegawai-pegawai masjid, ahli jawatankuasa dan seterusnya kariah masjid untuk berhenti merokok,” katanya.

Terdahulu teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Johor (Kesihatan Awam), Dr Shaharom Nor Azian Che Mat Din dalam program yang diadakan di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Serom, di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Dr Selahuddeen mengakui jumlah perokok lelaki berusia antara 18 dan 19 tahun di negara ini meningkat kira-kira 15.5 peratus pada 2015 berbanding hanya 24.6 peratus pada 2011.

Katanya, statistik hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada 2015 mendapati, prevalen perokok berkenaan mencatat sebanyak 40.1 peratus pada tahun itu.

“Manakala, jumlah perokok wanita juga meningkat daripada 1.1 peratus pada 2011 kepada 1.4 peratus dalam tempoh sama, selain bilangan pelajar sekolah yang dikenal pasti mula merokok turut meningkat.

“Malah, bilangan perokok lelaki dewasa walaupun menurun kepada 45.1 peratus pada 2015 tetapi ia hanya sekitar 1.5 peratus berbanding 46.6 peratus perokok pada 2011.

“Jika kita tidak bertindak sekarang, epidemik ini akan membunuh lebih lapan juta orang setiap tahun menjelang 2030 termasuk penduduk di negara ini dan lebih menyedihkan 80 peratus kematian ini melibatkan masyarakat awam di negara berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.

Sumber: Sinar Online