Ramai Belia Tertarik Sertai Perkhidmatan Awam


SEREMBAN – Pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan kini mendorong ramai golongan belia khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan institusi pengajian tinggi memohon untuk menjadi penjawat awam, baik di peringkat negeri mahu pun pusat.

Sehubungan itu, menyifatkan gaji yang ditawarkan kompetitif serta mempunyai masa depan yang cerah, Pembantu Tadbir Kewangan di Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan, Haniza Hasni, 37, berkata, kerajaan hari ini lebih peka dengan keperluan dan kebajikan penjawat awam.

“Ini jelas dengan beberapa insentif yang diterima kakitangan kerajaan sejak dari dahulu lagi, terutama dalam kemudahan perubatan. Sebelum ini mungkin mereka tidak nampak apa peluang dan kelebihan yang ditawarkan oleh kerajaan.

“Apabila menceburi bidang di bawah sektor kerajaan ini, baru kita nampak dengan lebih jelas bahawa kerajaan sentiasa menjaga kebajikan kakitangannya,” katanya, petik Bernama

Dalam pada itu, selain kemudahan perubatan, Haniza yang telah berkhidmat selama 10 tahun berkata, penjawat awam juga turut menerima pelbagai lagi kemudahan lain termasuk pinjaman perumahan dengan kadar faedah tetap sebanyak empat peratus.

Sumber: Suara TV