KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta mengambil tindakan terhadap parti politik yang tidak berdaftar tetapi menggunakan logo mereka pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Memberikan contoh, Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Rafii, berkata logo roket DAP ada digunakan dalam kempen pakatan pembangkang di Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah pada 5 Mei lalu.
Pakatan pembangkang yang diterajui DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada PRU-14 bertanding menggunakan logo PKR.
"Ia sama sekali bertentangan dengan syarat tambahan bahan kempen termasuk penggunaan lambang atau simbol parti politik.
"Mana-mana simbol parti yang tidak berdaftar dilarang digunakan sebagai bahan kempen termasuk simbol DAP, PAN dan PPBM," katanya pada sidang media di Pejabat SPR Wilayah, di sini, semalam.
Peraturan yang ditetapkan SPR perlu dipersetujui setiap parti politik yang bertanding selain mematuhi peraturan berkempen seperti mana termaktub dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
"Kita mahu pihak SPR bertindak tegas dengan menurunkan atau merampas bahan kempen yang menggunakan logo parti tidak berdaftar berkenaan.
"Kita juga minta Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya untuk menggiatkan lagi rondaan dan pemantauan dengan lebih teliti," katanya merujuk kepada gambar bertarikh 5 Mei 2018 memaparkan parti pembangkang menggunakan lambang roket ketika berkempen.
Sumber: BH Online