Rangel Lulus Ujian Pertama Lang Merah


KUALA LUMPUR - Penyerang baru Kedah, Paulo Rangel 'lulus' ujian pertama selepas membuat penampilan semula dalam saingan Liga Malaysia ketika membantu Lang Merah meraih kemenangan 2-1 ke atas Selangor di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Biarpun masuk sebagai pemain gantian pada penghujung babak pertama, namun persembahannya tetap berjaya memuaskan hati pengurus Kedah, Syed Khairul Anuar Syed Abidin.

Malah, Syed Khairul menjelaskan pihaknya tidak mengharapkan aksi lebih baik daripada Rangel pada penampilan pertamanya kerana faham pemain kelahiran Brazil itu masih belum mencapai tahap kecergasan maksimum.

"Melihat kepada kombinasi yang digunakan pada perlawanan sebelum ini berjaya membuahkan hasil yang baik, sebab itu kami hanya memasukkan Rangel pada penghujung babak pertama.

"Dia (Rangel) pun masih memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan kecergasan pada tahap terbaik bagi bermain sepenuh masa. 

"Melihat kepada aspek kawalan bola dan taktikal bersama pemain lain, ia menunjukkan keserasian yang baik dan kami percaya Rangel akan berikan aksi yang lebih bagus untuk Kedah pada perlawanan seterusnya," katanya selepas perlawanan.

Rangel sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa pasukan ternama dalam Liga Malaysia termasuk Perak, Selangor, Terengganu dan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum berhijrah ke Liga Thailand pada musim lalu.

Pada aksi malam tadi, Baddrol Bakhtiar dan Liridon Krasniqi sekali lagi muncul wira Kedah apabila masing-masing meledak satu gol buat Lang Merah, manakala jaringan tunggal Selangor disumbangkan Syahmi Safari.

Selain itu, Syed Khairul turut meletakkan harapan yang tinggi buat barisan pemain Kedah meneruskan rentak kemenangan apabila melayan kunjungan Melaka di Darul Aman, Jumaat ini.

"Kombinasi pemain tempatan dan import sangat baik. Jadi saya amat berterima kasih kepada pemain tempatan yang memberikan komitmen sepenuhnya walaupun beraksi di bulan puasa.

"Apa yang penting kami perlu teruskan momentum kemenangan ini bagi memastikan segala sasaran pasukan dapat dicapai," katanya.

Sumber: BH Online