Rayu Kerajaan Kekal Fungsi IPG KSAH


SUNGAI PETANI - Alumni Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Institut Pendidikan Guru (IPG)  Kampus Sultan Abdul Halim (IPG KSAH) merayu kerajaan membatalkan cadangan pertukaran fungsi IPG kepada pusat latihan institusi lain seperti pengumuman sebelum ini.

Wakil Alumni IPG KSAH, Syed Ezahar Syed Ambon berkata, IPG KSAH wajar dikekalkan kerana merupakan pusat latihan guru yang pertama dibina di Kedah dan dirasmikan Tuanku Sultan Kedah dengan dinamakan Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim pada ketika itu.

“Kami merayu agar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membatalkan cadangan pertukaran fungsi kerana mahu ia kekal dijadikan pusat informasi dan inovasi guru di negeri Kedah dan Zon Utara termasuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

“IPG KSAH mempunyai barisan pensyarah akademik dan jurulatih kokurikulum yang kompeten serta berkualiti tinggi dalam pelbagai bidang merangkumi Pusat Kecemerlangan Pedagogi Orang Asli Zon Utara sejak 2007,” katanya.

Menurutnya, rayuan itu demi kecemerlangan dan kelestarian pendidikan.

“Alumni menaruh harapan tinggi dan yakin serta optimis bahawa pengalaman, kebijaksanaan dan keprihatinan perdana menteri akan memudahkan proses serta tindakan untuk memastikan ia kekal relevan berfungsi melatih bakal guru.

“Kita mahu memastikan Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dan program pembangunan profesionalisme berterusan kepada guru dalam perkhidmatan, diteruskan,” katanya.

Pada 2017, kerajaan terdahulu mengumumkan melalui pembentangan Bajet bahawa 10 IPG akan ditukar fungsi.

Difahamkan, sebanyak empat IPG ditukar fungsi kepada kolej vokasional, empat kepada politeknik, satu ditukar kepada Permata Pintar dan satu lagi kepada Pusat Latihan Jurulatih TVET.

Pertukaran itu bagaimanapun hanya boleh diteruskan setelah kesemua bakal guru yang terlibat terus melaksanakan latihan guru sehingga Jun 2020 iaitu sehingga pelajar sedia ada tamat pengajian.

Sumber: Sinar Online