TAIPING - Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditemui maut dalam keadaan tertiarap dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan pasar raya di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Aldrich Wong Ping Hooi ditemui maut dengan kesan darah di bahagian kepala oleh orang awam di atas jalan di tepi bangunan pasar raya itu.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, siasatan mendapati mangsa yang berasal dari Taman Sening Garden di sini telah terjun dari tingkat empat bangunan pasar raya berkenaan selepas meletakkan keretanya di kawasan parkir.
“Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kesan darah di bahagian muka serta kesan melecet di betis kiri dan paha kanan.
“Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Taiping untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Mohamad, hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca daripada patah tulang leher dan belakang akibat jatuh dari tempat tinggi.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sumber - K! ONLINE