TAMPA - Ribuan tulang kanak-kanak dan lelaki dewasa dipercayai terbunuh dalam pertempuran yang dahsyat pada 2,000 tahun lalu, ditemui di kawasan paya di Denmark.
Tanpa rekod bertulis tempatan yang dapat memberi penjelasan atau tapak medan perang untuk diselidiki, pakar bagaimanapun masih dapat menyusun kisah orang Jerman yang sering digambarkan orang Rom sebagai 'tidak bertamadun' kerana sikap ganas mereka.
Laporan dalam Prosiding Akademi Sains Kebangsaan (PNAS) mendedahkan empat tulang pelvis yang dilekatkan pada tongkat antara penemuan tinggalan rangka sekurang-kurangnya milik 82 manusia di tapak penggalian arkeologi di Alken Enge yang terletak di Semenanjung Jutland, sekali gus menunjukkan upacara teratur untuk menyucikan medan tempur.
"Tapak yang dikaji sejak 2009, menghasilkan penemuan paling awal mengenai kontinjen besar pejuang daripada pasukan tentera yang kalah pada awal abad pertama selepas Masihi (M)," katanya.
Pengarang Bersama, Jabatan Pengajian Arkeologi dan Warisan, Universiti Aarhus, Mette Lovshcal, berkata tulang itu terpelihara dalam keadaan sangat baik.
"Kita boleh melihat sesuatu yang biasanya tidak dapat dilihat pada rangka seperti bekas gigitan haiwan dan kesan potongan daripada senjata tajam. Ia sangat jarang berlaku," katanya kepada AFP.
Lebih 2,300 tulang manusia itu berada dalam sedimen atau mendapan tasik dan tanah gambut seluas 75 hektar kawasan tanah lembap. Pentarikhan radiokarbon meletakkan mereka antara 2 Sebelum Masihi (SM) hingga 54 M.
Pada era ini, tentera Rom menggempur dalam peluasan kuasa hingga ke utara dan sekitar 7 M, mereka mengalami kekalahan besar yang menyaksikan puluhan ribu askar dibunuh oleh orang Jerman.
Lovschal berkata, apa yang mereka lakukan dalam dekad kejayaan itu adalah tentera menggempur di Jerman yang pada asasnya untuk menghukum golongan tidak bertamadun kerana kekalahan besar terbabit.
"Apa yang sebenarnya kita fikir adalah menemukan tinggalan rangka salah satu kempen punitif itu," katanya.
Lovschal berkata, tulang itu menunjukkannya daripada 'populasi yang agak majmuk' dengan sebahagiannya masih remaja antara 13 hingga 14 tahun, manakala yang lain pula lebih dewasa antara 40-60.
Paya itu dianggarkan menyimpan tinggalan kira-kira 380 lelaki yang mati akibat kecederaan daripada pertempuran.
"Mereka tidak kelihatan mempunyai kesan luka yang sembuh daripada pertempuran sebelumnya.
"Mereka mungkin mempunyai pengalaman yang sangat sedikit dalam peperangan," katanya.
Tulang itu menunjukkan serangan senjata yang lebih ketara di bahagian kanan dengan sedikit kecederaan di sekitar bahagian tengah yang mungkin disebabkan tentera memegang perisai dengan menggunakan tangan kiri.
Pakar menganggarkan mayat mungkin bergelimpangan di medan perang untuk tempoh yang agak lama, mungkin antara enam bulan hingga setahun kerana banyak tulang menunjukkan kesan gigitan anjing atau serigala.
Barang peribadi mereka sudah dilucutkan sebelum dibuang ke kawasan paya itu.
Banyak soalan masih belum terjawab. Siapakah yang terbabit dalam pertempuran itu? Apakah ia pertempuran antara kabilah? Atau pejuang Jerman menghadapi pahlawan Rom?
Dan apakah maksudnya tulang pelvis dilekatkan pada tongkat?
"Empat tulang pelvis pada tongkat itu mungkin memberikan konotasi perlecehan seksual.
"Ia seolah-olah menunjukkan sikap agresif. Jadi sukar untuk menyebut siapakah yang melakukannya," katanya.
Ahli arkeologi juga melihat perubahan landskap selepas pertempuran itu.
Pernah menjadi kawasan desa termasuk tanah pertanian, hutan dan padang ragut, ia berubah secara dramatik kepada kawasan hutan padat untuk tempoh 800 tahun berikutnya.
"Ia menyarankan peristiwa itu memberikan kesan sangat besar terhadap manusia yang mendiaminya.
"Ia menjadi trauma berskala besar kepada masyarakat," katanya. -AFP