ROS Benarkan UMNO Tangguh Pemilihan


KUALA LUMPUR - UMNO mendapat kebenaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk menangguhkan pemilihan peringkat Majlis Tertinggi bagi 2017 dalam tempoh tidak lebih 18 bulan dari tarikh sepatutnya iaitu 30 April 2018.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata perkara itu diputuskan ROS dengan merujuk kepada Fasal 10.16 Perlembagaan Pertubuhan.

Berdasarkan surat bertarikh 31 Oktober 2017, katanya, ROS tidak mempunyai halangan membenarkan pemilihan Majlis Tertinggi UMNO dijalankan selewat-lewatnya pada 19 April 2019.

"Sehubungan itu, Majlis Tertinggi UMNO menetapkan tarikh persidangan tahunan Cawangan UMNO serta pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bermula hari ini hingga 10 Jun 2018.

"Mesyuarat UMNO di peringkat Bahagian pula ditetapkan mulai 30 Jun 2018 dan dilaksanakan secara serentak dengan pemilihan parti di semua peringkat," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menerusi surat berkenaan, pegawai Bahagian Pengurusan Pertubuhan ROS, memaklumkan mereka bersetuju memberi tempoh lanjutan masa dengan merujuk kepada fasal terbabit (Fasal 10.16 Perlembagaan Pertubuhan).

"Merujuk kepada permohonan lanjutan masa untuk mengadakan pemilihan di peringkat majlis tertinggi bagi 2017, sukacita dimaklumkan pihak Jabatan tidak mempunyai apa-apa halangan untuk membenarkan Pemilihan Majlis Tertinggi (UMNO) dijalankan selewat-lewatnya pada 19 April 2019," katanya.

Sumber: BH Online