Rumah Terbakar, Warga Emas Dari Baling Syukur Di Bantu JKM


BALING - Aidilfitri tahun ini disambut dengan lebih bermakna bagi pasangan warga emas apabila menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas rumah mereka hangus dalam kebakaran Februari lalu.

Pasangan Che An Ulong, 87, dan Samsiah Din, 79, dari Kampung Raja Kupang, gembira apabila sekian lama menunggu bantuan akhirnya mendapat perhatian.

Beliau berkata, selepas rumah hangus dijilat api, mereka terpaksa menumpang di rumah sanak saudara.

Pasangan warga emas itu dijangka beraya di rumah baharu yang dijangka siap menjelang Aidilfitri nanti.

Mereka menerima sumbangan wang tunai dari JKM bagi meringankan beban selain dapat digunakan bagi persiapan menyambut Hari Raya nanti.

"Ini hadiah untuk kami sempena menyambut hari raya, meskipun tinggal sehelai sepinggang tetapi kami tetap bersyukur kerana tidak ada kejadian buruk yang berlaku.

"Kami sempat menyelamatkan diri walaupun api marak dengan cepat kerana kebakaran itu berlaku waktu pagi sebelum mendapat bantuan daripada jiran," katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan daripada JKM, semalam.

Beliau menerima wang tunai berjumlah RM6,600 yang diserahkan oleh Pegawai JKM Baling, Shamsul Izrin Isahak.

Che An berkata, wang diperoleh itu digunakan dengan berhemah untuk menyambut hari raya dan membeli keperluan untuk mendiami rumah baru pada hari raya nanti.

"Saya akan berjimat dengan bantuan itu... selain membeli keperluan barangan untuk memasuki rumah baru yang dijangka raya ini dapat mendiaminya," katanya.

Che An berkata, dia bersyukur apabila bantuan pembinaan rumah baharu disumbang oleh Pengerusi Yayasan Pembangunan Rakyat Baling (YPRB), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sementara itu, Shamsul Izrin berkata, pasangan itu mendapat perhatian daripada kerajaan negeri Kedah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat apabila rumah mereka terbakar pada 10 Februari lalu, kira-kira jam 10 pagi.

Beliau berkata, rumah baru mereka dijangka siap menjelang hari raya Aidilfitri nanti kerana kerja-kerja-kerja pembinaan hampir siap dan menunggu pemasangan meter elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Warga emas itu juga menerima bantuan bulanan berjumlah RM350 sebulan bagi meringan beban hidup," katanya.

Sumber: BH Online