Sarawak Report Sah Penipu! Hadi Menang Saman Fitnah


BERJAYA… PAS dapat suntikan semangat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 apabila presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menang kes saman fitnah terhadap Sarawak Report.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hasan berkata, pihak Mahkamah Tinggi di London telah memerintah Editor Sarawak Reports, Clare Rewcastle Brown membayar sebanyak RM156,197 (£28,900) atas tuduhan jahat tersebut.

“Alhamdulilah, pihak PAS bersyukur atas kemenangan yang cukup bermakna buat maruah parti secara keseluruhan, selain mencerminkan keperibadian Tuan Guru Haji Hadi.

“Saya berharap agar kemenangan ini dapat mengembalikan sokongan masyarakat sekali gus menangkis dakyah terhadap PAS menjelang PRU ke-14 pada 9 Mei ini,” kata Nasrudin kepada media.

Terdahulu beliau hadir Program Ramah Mesra Bersama Calon PAS Kerusi Parlimen Indera Mahkota dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah di Kampung Chendor Sempadan, Kuantan, Pahang malam tadi.

Nasrudin menjadi calon PAS Indera Mahkota dan bakal berdepan Datuk Dr. Johan Mat Sah sebagai calon Barisan Nasional (BN) serta calon PKR, Datuk Saifuddin Abdullah dalam persaingan tiga penjuru.

Pada April 2017, Abdul Hadi memfailkan saman berhubung artikel ditulis Clare pada Ogos 2016 yang mendakwa RM90 juta konon dimasukkan ke dalam akaun pimpinan PAS untuk dorong bekerjasama dengan UMNO dan BN.

Mengulas lebih lanjut Nasrudin menjelaskan bahawa pihak pembangkang tertentu sebenarnya telah cuba menggunakan isu tersebut untuk menjatuhkan reputasi dengan harapan PAS tumbang pasa PRU ke-14 ini.

“Kemenangan saman fitnah ini begitu bermakna apabila dapat mengembali kepercayaan rakyat khususnya penyokong PAS,” kata beliau. – Agensi