"Saya Kenal, Tahu Siapa Dr Mahathir..." - Bekas Setiausaha Politik


LANGKAWI - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan seorang yang cukup pendendam dan sanggup bersekongkol dengan musuh-musuhnya bagi memenuhi kepentingan peribadi.

Bekas Setiausaha Politiknya, Dato' Seri Johari Baharom berkata, beliau kenal benar dengan sikap dan corak politik Tun Dr Mahathir.

"Saya kenal Dr Mahathir. Saya dilantik Dr Mahathir sebagai Setiausaha UMNO Bahagian Kubang Pasu sejak 1981. Saya Setiausaha Politik dia, saya bekerja dengan dia, saya tahu Dr Mahathir.

"Apa yang dia (Tun M) cakap sekarang ini menunjukkan dia 'Melayu mudah lupa'. Dia tidak punya agenda untuk memperjuangkan apa yang dia cakapkan sekarang ini.

"Dia semata-mata untuk perjuangan peribadinya kerana marahkan Dato' Seri Najib, itu saja. Bukan ada benda lain, sebagai bekas Setiausaha Politiknya, saya tahu," tegas Johari kepada Kedahnews.com di sini, hari ini.


Johari menegaskan bahawa di zaman Tun M adalah zaman bermulanya berlaku pelbagai skandal di negara ini, tidak seperti bekas-bekas Perdana Menteri lain sama ada Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein mahupun Tun Hussein Onn.

Beliau memberi contoh ketika mana Kementerian Pertahanan membeli pesawat Skyhawk di zaman Tun M di mana pesawat-pesawat itu terkandas di Arizona, Amerika Syarikat, dan mencetus skandal yang heboh diperkatakan rakyat waktu itu.

"Skandal forex (mata wang asing) pun di zaman Dr Mahathir. Di Kedah, skandal Perwaja Steel pun di zaman Dr Mahathir juga.

"Jika sesiapa kata di zaman Dr Mahathir tiada skandal, itu tidak betul. Di zaman dialah lebih banyak skandal berlaku," jelas beliau.

Cuma kata Johari, Tun M cukup bertuah ekoran bekas-bekas Perdana Menteri sebelumnya telah menyediakan segala-galanya di negara ini, sekali gus memudahkan beliau membangunkan negara.

Jelasnya, Tunku Abdul Rahman menghapuskan ancaman komunis, Tun Abdul Razak menyatu padukan rakyat dan Tun Hussein pula telah menyediakan pelbagai asas untuk membangunkan negara yang kemudian mempermudahkan tugas Tun M.

"Ketika dia datang tu (jadi Perdana Menteri), semua dah ada. Komunis pun dah habis, cerdik pandai kita pun dah balik (dari menuntut pelajaran di luar negara), kita sudah ada segala asas ketika dia jadi Perdana Menteri.

"Sebab itulah kita nampak (seolah-olah) segala-galanya Dr Mahathir (yang bangunkan)," ujarnya lagi.


Justeru itu, beliau meminta supaya rakyat di Langkawi supaya dapat menilai dengan baik tentang Tun M dan tidak tersilap memilih parti yang sebenarnya telah membangunkan negara ini dengan baik sejak merdeka.

Johari berkata demikian dalam satu sidang akhbar yang diadakan bersempena program santai bersamanya di pengkalan nelayan di Tanjung Rhu di sini, petang tadi.

Turut hadir bersama adalah calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuah), Dato' Mohd Rawi Abdul Hamid. - Kedahnews.com