KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kerjaraya, Tun Dr S Samy Vellu, enggan dikaitkan dengan beberapa pemimpin veteran yang kini bersepakat menggulingkan pemimpin negara.
Bekas Presiden MIC itu menegaskan sokongan, hormat dan kesetiaannya kekal bersama Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang sinonim dengan liku kerjaya politiknya.
"Apa mereka buat, itu hal mereka, yang saya tahu ialah sokongan tetap pada BN, pada bila-bila masa sebab sebagai seorang begitu lama dengan BN, saya amat setia dan mempunyai penghormatan tinggi terhadap parti.
"Saya ingin melihat supaya rakyat Malaysia memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya kepada NSTP, semalam.
Beliau mengulas tindakan beberapa pemimpin veteran seperti bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz serta bekas Menteri Luar, Tan Sri Dr Rais Yatim, cenderung menyokong perjuangan Pengerusi pakatan pembangkang, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Samy Vellu berkata, kesetiaannya terhadap BN bukan membuta tuli, sebaliknya bersandarkan rasional Malaysia kekal aman, manakala rakyatnya secara keseluruhan mempunyai pekerjaan.
Selain itu, katanya, negara tidak terpalit dengan insiden rusuhan yang merencatkan pertumbuhan sektor fiskal, manakala kedudukan ekonomi Malaysia semakin menyerlah dan diperakui badan penarafan dunia.
"Ini sudah tentu kerana pimpinan Najib telus dan dinamik, selain tidak bersifat perkauman," katanya.
Samy Vellu yang juga Duta Khas Malaysia bagi Infrastruktur ke India dan Asia Selatan, menyifatkan komitmen Najib merangka pelbagai usaha dalam memacu pembangunan komuniti India tiada bandingan dengan mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.
Katanya, Perdana Menteri keenam sejak negara mencapai kemerdekaan itu merintis transformasi dengan menubuhkan jabatan khusus kerajaan, iaitu Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) yang diterajui oleh ketua pengarah kaum India bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan dasar berkaitan.
"Beliau (Najib) memperuntukkan banyak dana untuk pembangunan sekolah Tamil, kuil, dewan komuniti dan merangka pelbagai program sosioekonomi sejak mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan sejak 2009.
"Semua ini hadir tanpa perlu kita minta kerana beliau tahu, saya sekian lama sudah memohon bantuan seumpamanya untuk 'menghidupkan' pelbagai program demi manfaat masyarakat India ketika berada dalam Kabinet.
"Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa Najib banyak membantu komuniti India. Beliau tidak pernah menghampakan kita setiap kali memohon dana kerajaan untuk memperkasa status ekonomi dan sosial kaum India," katanya.
Sumber: BH Online