Saya Tidak Ada Isu Peribadi Dengan Najib - Anwar


KETUA Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibebaskan tanpa syarat hari ini berkata beliau tidak mempunyai isu peribadi dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beberapa jam selepas dibebaskan, Anwar secara terbuka juga memaafkan Najib dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Jika melibatkan hal peribadi, saya telah maafkan dia (Najib), tetapi dia perlu jawab sebarang isu mengenai pertuduhan rasuah dan jenayah terhadapnya," katanya pada sidang media di kediamannya di Bukit Segambut, di ibu negara, Rabu.

Sementara itu Anwar yang dipetik daripada Mystar berkata, beliau kini mahu meneruskan kehidupannya dan menghargai kebebasan penuh yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Ketika menjawab soalan mengenai kerjasamanya dengan Dr Mahathir, beliau berkata akan mengutamakan kepentingan negara lebih daripada perkara lain.

"Memang ramai yang bertanya, ramai yang ingin tahu mengenai kerjasama saya dengan Tun (Mahathir) dan saya katakan telah maafkan Tun, " kata Anwar.

Menyentuh mengenai barisan anggota kabinet, Anwar berkata itu adalah keputusan Perdana Menteri kerana beliau mempunyai kuasa prerogatif.

"Namun begitu, perlu ada rundingan dalam semua kepimpinan Pakatan Harapan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar yang dipetik daripada Harian Metro menyatakan beliau tidak menentang pelaburan dengan kerajaan China namun harus meneliti dan mengkaji segala perjanjian sebelum ini. - Kedahnews.com