PUTRAJAYA - Belum ada laporan diterima berhubung ahli UMNO menjadi pencadang atau penyokong calon parti pembangkang pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Sabtu lalu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata keahlian ahli parti akan gugur secara automatik jika dikesan berbuat demikian.
"Setakat ini belum ada pengesahan ahli UMNO menyokong parti lawan dan jika ada, kita akan ambil tindakan.
"Daripada apa yang saya tinjau, yang kelam-kabut ini yang sebelah sana (pembangkang). Kami tidak ada kelam-kabut," katanya kepada NSTP.
Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli UMNO yang menjadi pencadang dan penyokong kepada pemimpin UMNO yang bertanding atas tiket Bebas atau pembangkang akan dipecat.
Pada hari sama, MCA memaklumkan 12 ahlinya dipecat serta-merta termasuk tujuh yang bertanding sebagai calon pakatan pembangkang, selain menjadi calon Bebas pada PRU-14.
Mengulas pendedahan Ahmad Zahid mengenai rancangan pembangkang memasukkan Tun Dr Mahathir Mohamad ke hospital menjelang hari pengundian bagi meraih simpati, Tengku Adnan menyifatkannya sebagai antara permainan kotor pembangkang mendapat undi.
"Saya ada dengar, dia (pembangkang) ada taktik nak raih simpati. Dia akan minta Tun Mahathir pada 7, 8 atau 9 Mei kononnya masuk hospital kerana sakit.
"Mereka juga kini menakutkan penyokong kita sehingga nak memukul dan sebagainya. Selepas itu, dia kacau poster kita, seperti di Putrajaya, dia letak bendera PKR pada poster Perdana Menteri... teruk.
"Ini taktik lapuk dan kita tidak gentar. Kita akan meneruskan perjuangan mengikut landasan dan perundangan. Kita sudah buat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan berharap SPR akan mengambil tindakan," katanya.
Sumber: BH Online