Sekiranya PH Menang, Apakah Mei 69 Dan Dasar Bumiputera Akan Berulang?


Koon Yew Yin adalah seorang jurutera, ahli perniagaan dan penulis Malaysia, salah seorang pengasas syarikat pembinaan Malaysia, IJM Corporation, Mudajaya dan Gamuda Berhad. 

Hanya dengan melihat jumlah kehadiran di semua ceramah Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang boleh dilihat melalui Facebook, YouTube dan internet dalam tempoh dua minggu yang lalu, saya yakin bahawa kebanyakan orang akan bertaruh bahawa PH akan memenangi PRU14 pada 9 Mei ini.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini saya telah bercakap dalam beberapa ceramah untuk menyokong PH. Di ceramah-ceramah ini, saya secara peribadi melihat peningkatan besar sokongan rakyat biasa dari semua kaum untuk pembangkang di Perak. Pada masa yang sama, saya telah ditanya oleh ramai pengundi yang belum membuat keputusan dan pengundi atas pagar terutama di kalangan orang bukan Melayu, dua soalan yang tidak diberikan perhatian yang cukup di media kerana takut menghadapi masalah dengan pihak berkuasa.

Dua soalan utama

1. Apa yang akan berlaku jika PH menang dan ada orang yang tidak dapat menerima kekalahan itu atau dihasut untuk melakukan keganasan seperti yang berlaku pada Mei 69.
Pada masa itu apabila keputusan pilihan raya di Selangor tidak menyebelahi Parti Perikatan ketika itu, penyokong UMNO dan Menteri Besar negeri, Harun Idris mengamuk dengan menggunakan isu perkauman yang mengakibatkan banyak nyawa yang tidak bersalah melayang dan pengisytiharan negara dalam keadaan darurat?

2. Apabila PH menang dan mengambil alih kerajaan, Tun Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri. Adakah beliau akan mengulangi dasar Bumiputera dahulu beliau yang telah menyebabkan ketidakadilan dan rasa tidak puas hati, termasuk di kalangan orang Melayu yang tidak mendapat manfaat?

Jawapan saya kepada soalan pertama adalah bahawa saya tidak melihat sebarang kemungkinan berulangnya tragedi berdarah rusuhan kaum itu kerana kini sudah 50 tahun selepas peristiwa itu. Keadaan sosioekonomi sangat berbeza; orang Melayu tidak lagi miskin atau terpinggir dan juga ianya mustahil untuk mana-mana kumpulan atau bahkan parti untuk menganjurkan keganasan bersenjata memandangkan keterbukaan masyarakat dan teknologi semasa yang membuatkan berita tersebar dengan mudah.

Alasan lain saya ialah tidak seperti pada Mei 69, terdapat banyak kumpulan pembangkang Melayu - NGO, parti politik seperti Amanah, PKR dan Parti Pribumi Bersatu, dan kumpulan Melayu elit lain - yang tidak mahu keganasan kaum berulang. Mereka akan menanggung lebih banyak kerugian daripada mana-mana komuniti lain di negara ini dan saya yakin bahawa mereka akan memastikan peralihan kuasa yang aman sekiranya PH memenangi pilihan raya.

Mengenai soalan kedua, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan bukan Melayu untuk memilih Dr Mahathir dan PH dan supaya tidak takut bahawa Dr Mahathir akan membawa kembali sebarang bentuk dasar Bumiputera seperti yang dilakukannya pada 1970 selepas rusuhan nasional pada tahun 1969.

Dr Mahathir secara terbuka telah mengatakan bahawa beliau menyesal tidak meletakkan kawalan yang lebih kuat terhadap kuasa ketika beliau menjadi perdana menteri. Beliau berkata, "Saya tidak tahu pada masa itu, sudah tentu, tetapi saya sangat menyesal kerana saya tidak dapat menjangkakan jenis kerosakan yang boleh dilakukan oleh seorang perdana menteri berdasarkan undang-undang yang sedia ada." Beliau juga mengatakan bahawa beliau tidak akan mengulangi kesilapannya apabila beliau menjadi perdana menteri yang akan datang.

Satu lagi kesilapan besar yang dibuat oleh Dr Mahathir adalah dengan meneruskan dasar Bumiputera yang tidak meritokrasi. Ini bukan sahaja menyebabkan perpecahan kaum tetapi lebih teruk, merosakkan ekonomi kita dan menjadikan semua rakyat Malaysia lebih miskin.

Apabila dasar Bumiputera diisytiharkan pada 1970, KDNK per kapita kita sama seperti Singapura, Taiwan dan Korea Selatan. Pada masa ini, KDNK per kapita Singapura, Taiwan, dan Korea Selatan masing-masing adalah 4, 3 dan 2.5 kali ganda daripada kita.

Saya yakin Dr Mahathir akan memastikan pencapaian Wawasan 2020 apabila beliau berkuasa sekali lagi. Walaupun tahun 2020 kurang 2 tahun sahaja lagi, saya yakin bahawa beliau akan memperkenalkan dasar-dasar ekonomi baru yang lebih adil untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju secepat mungkin yang praktikal.