KINABATANGAN - "Saya ke Kinabatangan ini untuk membantu abang ipar berkempen walaupun terpaksa meredah laut dan panas terik," kata pelakon popular, Shaheizy Sam.
Adik kepada pelakon Zizie Ezette itu berada di Kinabatangan bagi membantu kempen abang iparnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen berkenaan.
Kehadiran pelakon filem Polis Evo itu menarik tumpuan penduduk yang juga tidak putus-putus mahu bergambar dengannya.
Sam tidak keseorangan apabila seorang lagi rakan artis iaitu pelawak terkenal, Zizan Razak, turut menemaninya.
Sam berkata, selain mahu melawat Sabah, dia sememangnya mahu mengikuti rombongan kempen Bung Moktar di beberapa kawasan di Parlimen Kinabatangan.
"Sebagai adik ipar, ini menjadi satu tanggungjawab untuk turut serta bersamanya. Kami sekeluarga sentiasa menyokong dari belakang dan memberi semangat kepada Bung Moktar.
"Saya teruja melihat sokongan penduduk Kinabatangan kepadanya dan saya juga suka laungan 'Tatap BN," katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Kampung Tanjung Batu, di sini, Khamis.
Menurut Sam, beliau yakin abang iparnya mampu mengekalkan kerusi Parlimen Kinabatangan yang disandang pada pilihan raya kali ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei ini, Bung Moktar berdepan saingan tiga penjuru dengan calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Mustapha Datu Tambuyong dan MA Ghazali Abdul Ghani (Parti Warisan Sabah).
Sumber: BH Online