'Silap Besar Batalkan HSR'


KUALA LUMPUR - UMNO menyifatkan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura sebagai kesilapan besar.

Ahli Unit Komunikasi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata kerajaan bakal kehilangan kesan limpahan ekonomi, khususnya di sepanjang jajaran HSR itu jika projek mega berkenaan dibatalkan.

Katanya, dakwaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kononnya HSR tidak bermanfaat kerana membabitkan kos tinggi, adalah terlalu mudah dan tidak mengambil kira pendapatan yang mampu dijana projek terbabit dalam jangka panjang.

"Stesen di Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri yang kurang membangun berbanding Kuala Lumpur dan Singapura, akan menerima manfaat limpahan pembangunan.

"Kajian Institut Ekonomi Membangun, Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (IDE-JETRO) menyatakan projek HSR mampu menjana AS$1 bilion (RM4 bilion) kepada ekonomi negara setiap tahun apabila ia beroperasi.

"Malaysia bakal kehilangan kira-kira pendapatan negara kasar (PNK) RM209 bilion dan 70,000 peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan jika HSR dibatalkan.

"Pembatalannya bakal mengurangkan nilai projek Bandar Malaysia yang menjadi stesen akhir HSR, sekali gus menjejaskan kemampuan untuk syarikat 1Malaysia Develpment Berhad (1MDB) membayar hutangnya," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir mengenai keputusan kerajaan membatalkan HSR atas alasan ia tidak bermanfaat, selain membabitkan kos RM110 bilion dan Malaysia tidak mendapat keuntungan daripadanya.

Kerajaan dijangka perlu membayar pampasan sekitar RM500 juta kepada Singapura jika meneruskan keputusan untuk membatalkan projek terbabit.

Abdul Rahman adalah antara individu bertanggungjawab dalam pelaksanaan projek HSR ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika Barisan Nasional (BN) menerajui kerajaan.

Beliau turut mempertikaikan dakwaan kerajaan PH, kononnya kos pembinaan HSR membabitkan RM110 bilion, kerana ia berbeza dengan kos dianggar kerajaan Malaysia dan Singapura sebelum ini, iaitu sekitar RM50 bilion hingga RM70 bilion.

Malah, Abdul Rahman berkata, pembatalan HSR akan mengecewakan pelabur asing, selain menampakkan kerajaan PH seolah-olah terburu-buru dan tidak mengambil kira kesan limpahan ekonomi yang sangat besar daripadanya.

"Jika projek ini mahu dilaksanakan semula pada masa depan, kosnya akan lebih tinggi manakala beban hutang pasti meningkat berkali ganda, sekali gus bertentangan dengan rancangan PH untuk mengurangkan kadar hutang negara," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hassan Mad, berkata pihaknya bersetuju dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) bahawa projek HSR diperlukan pada masa depan.

Malah, katanya, projek itu dirancang oleh Khazanah Nasional Bhd sejak 2008, namun terpaksa ditangguh ketika itu kerana ura-ura penentangan awam.

"MPM berpendapat, projek ini wajar diteruskan," katanya.

Sumber: BH Online