KUALA LUMPUR - Kesedaran orang ramai terhadap isu pembaziran makanan pada Ramadan harus diberi perhatian berikutan peningkatan sisa pepejal harian hampir setiap tahun.
Tahun lalu, Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mencatatkan peningkatan jumlah kutipan sisa pepejal harian sebanyak 150 tan metrik hingga 200 tan metrik setiap hari sepanjang Ramadan.
Jumlah berkenaan merangkumi kutipan di keseluruhan kawasan konsesi di bawah perkhidmatan Alam Flora iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan, berkata, walaupun jumlah kutipan harian sisa pepejal mencatatkan peningkatan, kutipan secara keseluruhan di ketiga-tiga kawasan konsesi itu, mencatatkan penurunan sebanyak 1,000 metrik tan pada hari ke-17 Ramadan tahun lalu, berbanding 2016.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya berjimat cermat dan tidak terlalu mengikut nafsu ketika membeli makanan untuk berbuka puasa.
"Peniaga bazar Ramadan tidak seharusnya membazir dan mereka boleh menderma makanan yang tidak habis dijual kepada rumah kebajikan atau golongan memerlukan.
"Jumlah sisa pepejal dapat dikawal jika kita menggunakan bekas makanan yang boleh dipakai semula, sekali gus mengurangkan beg plastik dan pek polisterina," katanya kepada NSTP.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menggesa orang ramai merancang pembelian makanan ketika Ramadan bagi menangani masalah pembaziran.
"Kesedaran mengenai pembaziran makanan perlu didedahkan dalam setiap keluarga yang berpuasa. Kita juga perlu pandai mengawal pengambilan makanan untuk sahur dan ketika berbuka puasa.
"Kita perlu lebih bertanggungjawab berbelanja pada bulan puasa kerana pembaziran makanan seolah-olah menjadi budaya tahunan ketika Ramadan," katanya ketika dihubungi NSTP.
Nadzim juga berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu bekerjasama dengan PPIM untuk menyebarkan kesedaran mengenai pembaziran makanan di peringkat sekolah.
"Ramadan adalah bulan disiplin dan masa yang tepat untuk mengamalkan perbuatan baik. Mungkin, dengan bantuan dan sokongan JAKIM dan JAIS, kita mampu memupuk kesedaran bermula di peringkat sekolah.
"Kami di PPIM sudah mula melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menangani masalah pembaziran makanan sejak sebulan lalu, termasuk sesi kempen dan perbincangan," katanya.
Sumber: BH Online