Songkok Tinggi Tengku Abdullah Diminati Orang Muda


PEKAN - Songkok tinggi digunakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang dihasilkan Mohd Nasrul Hassan di Bazar Muhibah di sini mendapat tempahan menggalakkan daripada golongan muda sempena Aidilfitri ini.

Songkok tinggi berukuran 10.16 sentimeter yang diperkenalkan Tengku Abdullah beberapa tahun lalu mempunyai kelainan sendiri kerana diperbuat daripada kain diimport dari Perancis dan Itali manakala potongan bahagian atasnya sama rata serta tidak berbukit.

Mohd Nasrul, 46, yang berasal dari Kampung Ketapang Hilir, berkata songkok itu mendapat permintaan tinggi orang ramai termasuk mereka dari luar Pahang dan jumlahnya semakin meningkat menjelang Aidilfitri.

"Ramadan kali ini saya banyak menerima tempahan membuat songkok tinggi fesyen Tengku Abdullah yang kini semakin terkenal terutama dalam kalangan masyarakat daerah ini yang tidak asing dengan istana.

"Saya mendapat tempahan lebih 800 songkok pada Ramadan kali ini membabitkan pelbagai jenis songkok, songkok biasa dijual pada harga antara RM20 sehingga RM100 manakala songkok tinggi pula antara RM85 sehingga RM130 setiap satu," katanya ketika ditemui NSTP di sini, semalam.

Mohd Nasrul, yang menjalankan perniagaan selama 25 tahun, berkata tempahan songkok akan bertambah dua hingga empat kali pada bulan Ramadan berbanding bulan lain dan beliau terpaksa bekerja sepanjang minggu untuk memenuhi permintaan.

"Saya mengambil masa 45 minit hingga sejam bagi menyiapkan sebiji songkok bergantung kepada saiz dan rekaan, selain jenis kain digunakan serta jahitan sulaman bahagian dalam songkok antara yang perlu diberikan perhatian," katanya.

Katanya, beliau mewarisi kemahiran membuat songkok itu daripada bapanya, Allahyarham Hassan Jantak, yang membolehkannya menghasilkan kehalusan jahitan yang menjadi kelebihan buat dirinya.

"Saya berbangga menjadi pembuat songkok yang dapat mempertahankan budaya Melayu nusantara, generasi muda hari ini sudah tidak lagi berminat belajar membuat songkok yang suatu ketika dahulu dimonopoli masyarakat berbangsa Kampar dari Indonesia.

"Saya bersyukur dengan sedikit kemahiran yang ada memberi peluang menghasilkan songkok untuk kegunaan masyarakat Melayu di daerah ini selain dari luar Pahang," katanya yang pernah diberi peluang membuat songkok Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, yang mempunyai reka bentuk tersendiri.

Sumber: BH Online